ULASAN Peningkatan kemasukan nelayan asing dari Thailand dan Vietnam yang semakin bertambah di sekitar perairan Terengganu menimbulkan keresahan di kalangan nelayan tempatan.

Saya berpendapat bahawa kebenaran menggunakan bot tempatan yang diberi kepada nelayan asing perlu dikaji semula. Perkara seumpama ini haruslah diberi perhatian dan diambil kira sebagai usaha mencari penyelesaian bagi menangani hal ini.

Tambahan pula, kemungkinan nelayan asing menjual hasil tangkapan mereka, ikan gred A , di tengah laut tanpa perlu mendaratkan di pelabuhan tempatan harus disiasat. Sementara mereka mengaut keuntungan, nelayan tempatan akan mengalami kerugian dan saingan yang lebih tinggi.

Sekiranya nelayan asing ini melanggar syarat menangkap ikan, pemantauan seharusnya dijalankan bagi mengenalpasti mereka yang gagal mematuhi syarat yang telah ditetapkan agar tindakan tegas boleh dikuatkuasakan terhadap pesalah.

Pada 12 Julai lalu, Ketua Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komanden Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah menyatakan bahawa trend migrasi ikan ikan laut dalam yang memasuki perairan negara dikesan menjadi punca kepada pencerobohan nelayan dari negara jiran yang makin ketara.

Nelayan asing dilihat menceroboh untuk memungut sumber laut negara kita. Para nelayan itu tidak memiliki dokumen kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara kita.

Aktiviti pencerobohan di perairan semakin berleluasa dari sehari ke sehari sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan sumber perikanan negara sekaligus pendapatan nelayan tempatan turut terjejas dan merosot.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) harus menjalankan operasi secara berterusan bagi mencegah dan menyekat pelaku kesalahan di Zon Maritim Malaysia untuk mengekang masalah ini.

Sebelum ini, terdapat juga kes penahanan nelayan asing yang menangkap penyu dan ikan yu di perairan negeri Terengganu. Nilai pasaran yang tinggi bagi hidupan laut ini di negara asal mereka menjadi dorongan penangkapan tersebut.

Penangkapan penyu adalah menjadi satu kesalahan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985. Sehubungan dengan itu, hal ini harus diberikan pertimbangan yang serius kerana penyu adalah haiwan laut terancam yang telah pun dikelaskan sebagai hidupan spesis dilindungi.


AZAN ISMAIL adalah pengerusi PKR Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.