AMK batal rancangan 'flash mob' lepas dinasihati polis
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Balik Pulau, Ahmad Razaaim Azimi membatalkan rancangan untuk mengadakan 'flash mob' menjelang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke kawasan Parlimen itu/
Difahamkan, Ahmad Razaaim dan beberapa yang lain sedang merancang mengadakan 'flash mob' itu untuk menggesa pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh ekoran sabitan satu kes liwat pada Februari 2014.
Najib akan berada di Balik Pulau untuk menghadiri majlis jamuan rakyat dan merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Balik Pulau.
Ketika dihubungi, Ahmad Razaaim,34 berkata seorang pegawai cawangan khas menemuinya ketika kumpulan sekitar 15 orang itu berkumpul di Kompleks Sukan Balik Pulau.
Katanya, pegawai itu membawanya kira-kira 500 meter dari kumpulannya dan menasihatkannya supaya tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan 'flash mob' itu.
"Kami memutuskan untuk mematuhi nasihat itu dan membatalkan perhimpunan kami, dan saya dibebaskan selepas itu," katanya.
Pada 17 Ogos lalu, polis menahan 18 pemimpin AMK dan penyokong PKR termasuk ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Wahab dan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, Ong Jing Cheng menjelang lawatan Najib ke Permatang Pauh. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan perdana menteri tiba di Politeknik Balik Pulau bagi menghadiri jamuan rakyat dan merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Balik Pulau petang ini.
Perdana menteri tiba kira-kira pukul 1 tengah hari dan disambut barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno negeri.
Beliau kemudian menyertai kira-kira 5,000 penduduk Balik Pulau di majlis jamuan rakyat.

