Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Guru serba boleh disabit rogol, penyokong merusuh
Diterbitkan:  Aug 27, 2017 11:25 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

GLOBAL| Ribuan penunjuk perasaan yang menyokong seorang guru ajaran keagamaan telah mengakhiri pertempuran dengan pasukan tentera di India, sehari sebelum guru itu akan disabitkan hukuman penjara yang dikhuatiri akan menghasilkan keganasan selanjutnya.

Agensi berita Al Jazeera melaporkan Gurmeet Ram Rahim Singh, berusia 50 tahun, pada Jumaat lalu telah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan merogol dua orang pengikutnya pada 2002.

Keputusan itu menyebabkan ribuan penyokong guru tersebut merusuh di jalanan bagi membantah keputusan mahkamah.

Paling kurang 30 orang terbunuh, lebih 100 orang cedera dan lebih 500 orang ditahan, lapor Al Jazeera.

Para hakim dijangka akan menjatuhkan hukuman ke atas Singh pada Isnin ini. Beliau berhadapan hukuman penjara antara tujuh tahun ke seumur hidup.

Perkumpulan keagamaan Singh, Dera Sacha Sauda mendakwa memiliki jutaan penganut.

Al Jazeera memetik jurucakap polis, Surjeet Singh yang berkata perintah darurat yang dikenakan di bandar Sirsa, tempat markas Dera Sacha Sauda telah dihentikan sementara selama 5 jam pada Ahad ini bagi membantu orang ramai membeli makanan dan barang keperluan.

Kehadiran kira-kira 10,000 orang di pusat markas Dera Sacha Sauda meningkatkan kebimbangan keganasan akan berterusan sebaik guru mereka mendapat sabitan hukuman.

'Keganasan tidak diterima di tanah Gandhi'

Perdana Menteri India Narendra Modi mengutuk rusuhan tersebut dan memberi amaran terhadap rusuhan yang boleh berlarutan.

"Orang yang mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri atau menggunakan keganasan tidak akan dibiarkan begitu saja, siapa pun mereka," kata Narendra Modi hari ini dalam siaran radio bulanannya merujuk rusuhan ini.

"India ialah tanah Mahatma Gandhi dan Budhha. Keganasan dalam apa jua bentuknya tidak akan diterima di negara ini," kata Modi lagi.

Para hakim akan mengadakan prosiding sabitan hukuman di penjara Rohtak, tempat Singh ditahan sejak Jumaat lalu.

Sing menafikan dakwaan merogol dua orang perempuan di markas perkumpulan agamanya 15 tahun lalu.

Agensi berita BBC pula melaporkan pada Jumaat lalu, Singh tiba di mahkamah Panckula, berhampiran negeri Punjab dengan konvoi 100 buah kenderaan. Dia diletakkan di bawah jagaan tentera setelah diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Ribuan tentera, polis dan pasukan para militer dikerahkan untuk berkawal.

Menurut laporan BBC lagi polis menangkap kira-kira 2,500 penyokong Singh selepas hampir 200,000 orang hadir ke bandar Panchkula bagi menunggu keputusan mahkamah Jumaat lalu itu.

Kereta dan kenderaan media dibakar manakala keganasan turut menyebar hingga ke kota Delhi apabila dua gerabak keretapi dibakar, lapor BBC.

Guru Gurmeet Ram Rahim Singh pernah membuat persembahan di konsert rock, berlakon dan mengarahkan sendiri filemnya.

Dia dikenali dengan gelaran 'baba rockstar' dan 'guru gemerlapan' disebabkan sering mengenakan pakaian terang berkilauan.

Lihat Komen
ADS