Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas ketua pengarang sendiri bidas Utusan
Diterbitkan:  Aug 28, 2017 10:04 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin hari ini membidas akhbar yang pernah dipimpinnya.

Menulis di Twitter, beliau mendakwa Utusan Malaysia yang sebenarnya “kebal dengan berita putar belit, bias, fabricated (direka-reka) dan melanggar etika kewartawanan bertamadun”.

“Siapa pemiliknya?” soalnya berkaitan akhbar Umno itu.

Beliau mengulas serangan Utusan terhadap Malaysiakini semalam yang mendakwa portal ini memainkan sentimen berbahaya dan secara terpilih menyiarkan banyak komentar pembaca yang liar, termasuk mencabar keputusan mahkamah.

Utusan juga mendakwa Malaysiakini dilihat sengaja mengambil kesempatan menggunakan ruangan komen pembaca sebagai alat untuk membangkitkan suasana menjelikkan dalam kalangan masyarakat, dengan memetik pandangan dua ahli akademik.

Sementara itu, Zainuddin yang juga bekas menteri penerangan mendakwa Utusan bertindak demikian kerana terdesak.

Utusan desak lagi tindakan terhadap Malaysiakini.

“Ini kerana tak tahan lagi ramai pembacanya lari ke Malaysiakini untuk dapat maklumat seimbang,” katanya yang kini lantang terhadap pemerintah.

 

Ke tahap 'menjilat', kata aktivis

Sementara itu, bekas pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu Amran Ahmad turut tampil mengkritik akhbar itu.

“Inilah pentingnya kebebasan media yang selama ini dilaung-laungkan oleh NUJ, kerana akibat tiadanya kebebasan media, Utusan akhirnya kehilangan pembaca ekoran sering menyajikan berita-berita yang prokerajaan semata-mata sehingga tahap 'menjilat' pemilik akhbar itu, Umno.

“Akibatnya, penurunan jumlah pembaca dan jualan akhbar tersebut telah memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan syarikat yang kini khabarnya berdepan masalah kewangan dan asyik mengalami kerugian dalam laporan kewangannya saban tahun,” katanya.

Bekas wartawan ekonomi Utusan yang dibuang kerja pada 2009 itu berkata kehilangan pembaca juga menyebabkan masalah kewangan dalam syarikat itu.

“Lebih daripada itu, keputusan kewangan yang teruk akibat Utusan kehilangan pembacanya menyebabkan para pekerja Utusan termasuk wartawan dan jurugambarnya terus dihimpit masalah sehingga ada kalanya gaji lambat dibayar.

“Itu belum termasuk kegagalan antara NUJ Utusan dan majikannya untuk memeterai perjanjian bersama yang khabarnya telah tertangguk sejak bertahun lamanya,” katanya.

Amran dibuang kerja lapan tahun lalu selepas melaporkan transaksi yang dipertikaikan Utusan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Malaysiakini melaga-laga masyarakat, kata Utusan

Lihat Komen
ADS