Pergolakan dalaman PKR Kelantan hari ini membawa ke episod baru selepas Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat sebagai ketua Pemuda (AMK) negeri.

Malaysiakini difahamkan pemecatan itu dimaklumkan kepadanya pagi ini oleh Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi kedua-dua pemimpin itu.

Nik Nazmi ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

“Ya, (penggantinya) akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ini susulan mesyuarat antara pimpinan PKR pusat dan PKR negeri, termasuk Hafidz,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa memberitahu Malaysiakini bahawa tindak-tanduk kumpulan penentang kepimpinan PKR negeri sedang diperhatikan sebelum tindakan diambil.

Ahmad Syauqey Abdul Ghani, penggerak utama kempen bagi mengetepikan Aziz Ab Kadir telah menyampaikan memorandum berkaitan kepada pimpinan tertinggi parti, yang dikatakan sampai ke ibu pejabat pada 16 Ogos lalu.

Sementara itu, Hafiz pula berkata akan mengadakan sidang media khas berkaitan perkembangan itu.

Dalam Facebook, beliau bagaimanapun menjelaskan dimaklumkan berkaitan pemecatan itu pada jam 9.0 pagi melalui WhatsApp daripada Nik Nazmi.

Hafidz antara pemimpin negeri yang dikatakan mendukung kerjasama PKR-PAS walaupun hubungan rasmi kedua-dua parti sudah diputuskan.

Lapan daripada 14 ketua Pemuda cabang PKR Kelantan menandatangani petisyen menuntut penyingkirannya, yang sekali gus dilihat seperti undi tidak percaya.

Isu kerjasama itu muncul kembali selepas Timbalan Presiden PKR Datuk Sri Azmin Ali mendedahkan pihaknya mengadakan rundingan “sangat tidak rasmi” dengan PAS.

Sehari selepas itu, PKR Kelantan mengumumkan mempertahankan lantikan politik dalam kerajaan Kelantan pimpinan PAS, sekali gus mewujudkan tidak puas hati pihak yang menolak kerjasama dengan parti itu.

Di peringkat pusat, tempias itu sama turut terasa apabila anggota parlimen Selayang William Leong meletakkan jawatan sebagai anggota biro politik sebagai tanda protes dengan kerjasama PAS.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang berpendirian sama, meminta sebuah kongres khas diadakan bagi menyelesaikan pertikaian dalam itu.