Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isyarat bercelaru: Akar umbi PKR desak adakan kongres khas

Sekumpulan pemimpin akar umbi PKR hari ini mendesak kepimpinan parti itu supaya mengadakan kongres khas untuk memuktamadkan hubungan kerjasama dengan PAS, memadangkan ketegangan semakin memuncak.

Menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Harapan Pakatan, kumpulan itu mendakwa isyarat bercelaru dari pemimpin tertinggi berhubung rundingan dengan PAS telah mereggangkan kerjasama di antara cabang-cabang PKR dengan rakan-rakan dari Pakatan Harapan.

"Paling teruk, kami bimbang sikap sebegitu akan menjemukan pengundi atas pagar dan rakyat keseluruhannya kerana PKR seolah-olah tidak komited dengan HARAPAN," kata pengerusi jawatankuasa itu, Yusuf Tapar pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Yusuf yang juga adalah ketua cabang PKR Rembau, berkata kongres khas seharusnya diadakan untuk membincangkan perkara itu supaya pandangan dan pendapat akar umbi parti turut diambil-kira.

Beliau berkata, ketika ini, ahli tertanya-tanya sama ada isu kerjasama dengan PAS dibuat dengan persetujuan ahli parti atau keputusan sesetengah pimpinan saja.

"Isyarat dari pimpinan kanan PKR bertukar-tukar terutamanya mengenai strategi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14) yang membabitkan PAS. Isyarat bercelaru ini menyebabkan jentera parti di cabang keliru.

"Sementara kami membaca laporan berita bahawa rundingan kerusi di peringkat pakatan berjalan lancar, kami juga membaca Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mahu berunding dengan PAS untuk membahagikan kerusi," katanya.

Menurut Yusuf, terdapat peruntukan di dalam perlembagaan parti yang membolehkan cabang menuntut kongres diadakan, sekiranya mereka mendapat sokongan satu pertiga.

Yusuf berkata, setakat ini jawatankuasa bertindak itu telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya 56 cabang, dan beliau yakin akan berjaya mendapatkan persetujuan 20 lagi cabang untuk mencapai angka minimum 73 cabang yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.

"Kami akan menghubungi semua cabang-cabang PKR yang lain untuk menyelesaikan perkara ini dengan secepat mungkin, agar keputusan kerjasama dengan PAS ini dapat diputuskan sebaik-baiknya dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Menurutnya, gesaan supaya pimpinan PKR mengadakan kongres khas ini bukan bertujuan merosakkan parti, sebaliknya mahu mereka mendengar suara akar umbi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS