Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Timbalan ketua AMK 'tembak' Rafizi
Diterbitkan:  Aug 28, 2017 2:18 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin hari ini membidas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mencadangkan kongres khas dibuat bagi menyelesaikan isu rundingan dengan PAS.

Afif berkata, Rafizi sepatutnya memberi cadangan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution agar mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan segera memandangkan kali terakhir ia diadakan pada 19 Mei yang lalu.

Malah, ADUN Seberang Jaya itu juga berkata, cadangan untuk mengadakan kongres khas dilihat mustahil sekiranya tiada alasan yang kukuh kerana ketika ini semua tenaga kerja adalah bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Kenyataan YB Rafizi amatlah bertentangan dengan pendirian parti kerana sehingga hari ini masih tidak ada kata putus untuk meletakkan PAS bersama Pakatan Harapan.

"Rundingan dan perbincangan tidak rasmi ini adalah untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru semasa pilihan raya umum dan meningkatkan peluang PKR untuk memenangi pilihan raya.

"Oleh itu, tidak ada asas langsung untuk memanggil satu kongres khas," kata Afif dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Rafizi mencadangkan PKR mengadakan kongres khas bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan PAS atau tidak.

Kata Rafizi, ketika ini wujud dua kumpulan saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat berbeza mengenai cara bagaimana PAS perlu ditangani.

Selain itu, Afif berkata lagi, kenyataan yang dikeluarkan Rafizi itu tidak tepat dan mengejutkan anggota parti serta kepimpinan.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan Rafizi bahawa rundingan bersama PAS merupakan keputusan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan keputusan bersama Biro Politik PKR yang dipengerusikan presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak benar untuk menyatakan bahawa rundingan bersama PAS merupakan keputusan Datuk Seri Azmin Ali secara individu.

“Rundingan ini merupakan keputusan bersama Biro Politik PKR yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Usaha ini juga telah mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjara.

"YB Rafizi mungkin tidak menyedari hal ini kerana beliau sudah sekian lama tidak menghadiri mesyuarat biro politik," bidas Afif.

Lihat Komen
ADS