Pemandu bas tumbuk penumpang kerana mengadu tidur
Seorang penumpang membuat laporan polis selepas mendakwa seorang pemandu bas menumbuk mukanya setelah tertidur ketika dalam perjalanan.
Thomas Fann, 56, menaiki bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur ke Johor Bahru pada Ahad lalu, apabila pemandu bas berhenti di tengah jalan berhampiran terminal bas Seremban.
"Bas itu sebelumnya berhenti di Seremban untuk mengambil penumpang, dan terus ke selatan ke arah plaza tol Seremban dan kemudian saya menyedari bas kami tidak bergerak.
"Beberapa minit sebelum itu kami terjebak dalam kesesakan lalu lintas, tetapi selepas saya memandang ke luar tingkap, saya lihat kenderaan melepasi dan membunyikan hon ke arah kami.
"Saya pergi ke hadapan bas untuk periksa apa yang berlaku, saya lihat kepala pemandu itu di stereng," kata Fann ketika dihubungi Malaysiakini.
Fann berkata beliau tidak pasti sama ada pemandu itu mati atau masih hidup tetapi akhirnya berjaya mengejutkannya.
Setelah berbuat demikian, Fann kembali ke tempat duduknya dan terus menghubungi syarikat bas itu untuk membuat aduan.
Dia juga meminta pemandu bas atau bas lain dihantar untuk menjemput mereka.
Kira-kira lima minit kemudian, bas itu berhenti lagi, kali ini sebelum menghampiri tol Seremban.
Fann mendakwa pemandu berjalan ke arahnya, menarik lengannya dan menjerit ke arahnya.
Ditumbuk di muka
"Dia seolah-olah kecewa kerana saya hubungi syarikat bas itu, dan beritahu saya dia hanya mencari pendapatan dan tindakan saya boleh menyebabkan dia hilang kerja.
"Saya memberitahunya, 'Apa pun, kamu membahayakan penumpang kamu'. Kemudian dia menumbuk saya," katanya.
Penumpang lain yang menyaksikan serangan itu segera menghalang pemandu berkenaan.
Selepas itu, pemandu bas itu meneruskan perjalanan.
Tetapi di Ayer Keroh, ketika pemandu itu memberhentikan kenderaan kali ketiga bagi membolehkan penumpang menggunakan tandas, Fann meninggalkan bas itu bagi mencari cara lain untuk kembali ke Johor Bahru.
"Saya berpendapat nyawa saya dan penumpang lain dalam bahaya, jadi saya beritahu mereka saya nak turun.
"Nasib baik, ada bas yang mempunyai beberapa tempat kosong dan selepas membayar tiket, saya selamat pulang," jelasnya.

