Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bayaran RM40,000 dibuat kepada seorang peserta perhimpunan BERSIH 3.0 yang matanya buta akibat terkena satu kanister gas pemedih mata.

Walau bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Firuz Jaffril mengurangkan pampasan itu sebanyak 30 peratus, kerana kecuaian Asrul Wadi Ahmad, 32, kerana tidak mengendahkan arahan apabila diminta supaya bersurai dan meninggalkan kawasan berkenaan.

Beliau memberi ganti rugi RM10,000 untuk kecederaan di mata Asrul, RM10,000 lagi untuk kecederaan di hidung dan RM20,000 lagi kerana mata kanan mangsa buta.

"Kecederaan itu tidak dicabar secara khusus. Bayaran ganti rugi itu harus ditolak sebanyak 30 peratus kerana kecuaian plaintif," katanya.

Dengan keputusan itu, jumlah ganti rugi kepada Asrul hanya berjumlah RM28,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Firuz juga memerintahkan pihak polis dan kerajaan membayar kos sebanyak RM30,000.

Mohd Firuz walau bagaimanapun tidak membenarkan ganti rugi khas atau ganti rugi teruk dan teladan atas alasan peguam Asrul gagal menunjukkan bukti mengenai dakwaan itu.

[Baca berita penuh]