Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan Thailand tidak tahu keberadaan Yingluck

Kerajaan Thailand tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra termasuk sama ada beliau memohon suaka di United Kingdom seperti media membuat spekulasi, kata Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan pada Isnin.

Menurut Prawit, yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri, kerajaan tidak dimaklumkan oleh sesiapa mengenai keberadaannya sekarang.

"Saya tidak tahu (mengenai keberadaan Yingluck) dan saya juga tidak tahu mengenai laporan media menyatakan beliau memohon suaka," kata beliau kepada media ketika ditemui di Kementerian Pertahanan sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pertahanan di sini.

Yingluck sepatutnya hadir di mahkamah untuk mengetahui keputusan terhadapnya berhubung kes penyalahgunaan kuasa yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah tetapi Yingluck tidak hadir dan peguamnya memberi alasan bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Bekas Perdana Menteri itu dituduh melakukan kecuaian melibatkan skim subsidi yang dilaksanakan semasa pentadbirannya.

Prawit berkata, kerajaan tidak pernah menyangka Yingluck akan melakan diri selepas beliau sendiri menyatakan beberapa kali sebelumnya bahawa beliau akan terus berada di Thailand dan menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

"Kami tidak menjangka beliau akan melarikan diri," kata Prawit dan menurut laporan media, perdana menteri wanita pertama Thailand pada masa ini berada di Dubai bersama-sama dengan abangnya, Thaksin yang mempunyai sebuah rumah di kota Timur Tengah itu.

Thaksin, seorang lagi bekas Perdana Menteri Thailand telah tinggal dalam buangan sejak melarikan diri dari negara itu pada 2008 untuk mengelak tindakan mahkamah.

Mengenai bagaimana Yingluck dapat melarikan diri walaupun polis mengenakan pengawasan yang ketat ke atas pergerakannya, Prawit berkata beliau juga bingung dengan perkembangan yang menyusul itu.

"Pegawai polis sentiasa mengawasinya di depan rumah beliau...tetapi saya tidak tahu di mana dan bila beliau keluar (rumah)," kata beliau ketika beberapa pihak di Thailand menggesa tindakan diambil ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang bersubahat dan membantu Yingluck melarikan diri.

-Bernama



 

Lihat Komen
ADS