Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korea Utara tembak peluru berpandu lepasi Jepun

Korea Utara membedil peluru berpandu melepasi kepulauan Jepun sebelum jatuh di Lautan Pasifik di Hokkaido, lapor agensi berita China Xinhua.

Peluru berpandu itu dilancarkan kira-kira pukul 5.58 pagi waktu tempatan dari pantai barat Korea Utara ke arah arah timur laut, dan melepasi pulau Cape Erimo, Hokkaido sekitar pukul 6.06 pagi, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga .

Beliau berkata, peluru berpandu itu terbang kira-kira 2,700 kilometer dengan ketinggian 550 kilometer.

Terdapat kemungkinan peluru berpandu berkenaan pecah kepada tiga bahagian dan kerajaan Jepun sedang menganalisis perkara itu, katanya.

Tindakan itu menurutnya "tidak pernah berlaku sebelum ini dan menimbulkan ancaman keselamatan serius" kepada Jepun dan negaranya akan bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan untuk menangani isu berkenaan.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata, beliau menentang keras pelancaran peluru berpandu dan menyifatkan ia boleh mewujudkan satu ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau.

Tambahnya, Jepun mahu satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan dan menyeru masyarakat antarabangsa bekerjasama untuk mengenakan lebih banyak tekanan ke atas Korea Utara.

Menteri Luar Jepun Taro Kono berkata, di tengah ketegangan antara AS dan Korea Utara, negara itu sebaliknya melancarkan peluru berpandu ke arah Hokkaido dan bukannya Guam.

Beliau berkata, peluru berpandu melintasi Jepun tanpa sebarang notis awal dan boleh mengancam keselamatan pesawat dan kapal.

Berikutan itu, Jepun mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara melibatkan menteri berkaitan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS