Bekas Exco Perak dipenjara dua tahun kerana rasuah
Bekas ahli exco kerajaan negeri Perak, Datuk Azman Mahalan, dihukum penjara dua tahun dan denda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan rasuah melibatkan wang RM7,000.
Bekas ahli exco kerajaan negeri Perak, Datuk Azman Mahalan, dihukum penjara dua tahun dan denda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan rasuah melibatkan wang RM7,000.
Hakim Ahmad Nasfy Yasin menjatuhukan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan bagi tuduhan pertama dan penjara dua tahun penjara denda RM25,000 atau penjara setahun bagi tuduhan kedua.
Beliau memerintahkan agar hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa hari ini dan mengarahkan Azman supaya membayar denda bagi setiap tuduhan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Azman, 63, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan melanjutkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuan didengar.
Bagi pertuduhan pertama, Azman, yang ketika itu Ketua Umno Bahagian Tapah, didakwa memberi suapan RM2,000 kepada seorang kontraktor, Mohd Kamal Rabaii sebagai dorongan tidak menerima tawaran penyelesaian daripada Pazli Abdullah Sani supaya, Pazli yang ketika itu Ketua Pemuda Umno Bahagian Tapah, kekal muflis dan tidak layak bertanding untuk menentang Azman bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Tapah pada 22 April 2001.
Menurut Bernama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 29, Jalan Lengkok Pasar, Rapat Setia, di sini antara 6 petang dan 7 petang 6 April 2001.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memberi rasuah RM5,000 kepada Mohd Kamal untuk tujuan serupa, di tempat yang sama antara 8.30 malam dan 11 malam 9 April 2001.
Kepentingan awam
Ahmad Nasfy berkata, mahkamah berpuas hati, pihak pendakwaan telah membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah dan dengan itu mensabitkan Azman dengan kedua-dua tuduhan.
Katanya, pembelaan pula telah gagal menggugat atau menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
"Saya telah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan membuat kesimpulan bahawa kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan peribadi OKT (orang kena tuduh)," kata Ahmad Nasfy.
Mahkamah juga mengambil kira dan memberi pertimbangan kepada kedudukan Azman sebagai ahli politik veteran dan memegang jawatan penting dalam kerajaan, katanya.
Sebelum membuat keputusannya, Ahmad Nasfy berkata, kes pendakwaan adalah jelas dan disokong dengan keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang mengukuhkan pertuduhan.
Katanya, beberapa isu yang ditimbulkan oleh pembelaan, termasuk andaian adanya pakatan rakan sejenayah antara dua saksi pendakwa, juga tidak terpakai.
Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Kanan Persekutuan Abdul Karim Abdul Jalil yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah Muhammad bin Sinti manakala pembelaan dijalankan peguam S. Theivanthiran yang dibantu Tun Mohamad Ammar Aziz.
Azman dituduh mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana lebih tinggi.
Rayu ringan hukuman
Theivanthiran merayu hukuman yang ringan memandangkan Azman pernah menyandangkan jawatan penting dalam politik dan kerajaan serta memberikan khidmat yang dedikasi.
Beliau meminta mahkamah menimbangkan pengorbanan lebih 20 tahun yang diberikan oleh Azman sebagai pemimpin politik dan anggota exco kerajaan negeri serta terhadap peranannya membangunkan masyarakat dan negeri.
"Tertuduh berumur 63 tahun dan mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan," katanya.
Pendakwaan sebaliknya meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kerana, menurut Abdul Karim, kesalahan rasuah adalah jenayah serius yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.
"Mahkamah boleh mengambil peranan utama menunjukkan kepada masyarakat betapa serius kesalahan rasuah. (Kes ini) libat pemimpin yang bukan baru satu dua hari tetapi 20 tahun jadi pemimpin," katanya.
Beliau berkata kerajaan telah menjalankan pelbagai aktiviti membanteras rasuah hingga ke akar umbi, dan Azman sebagai pemimpin, sepatutnya tahu perbuatan yang dilakukannya itu bukan sahaja serius tetapi bertentangan dengan segala usaha pemerintah.
"OKT juga tidak ada sesal terhadap perbuatannya dari hari pertama hingga hari ini. Ini boleh bawa kesan kepada keyakinan awam dan kita tidak mahu membudayakan amalan rasuah.
"Saya mohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dengan membuat imbangan antara kepentingan tertuduh dengan masyarakat. Hujah saya semua bermula dari atas, integriti pemimpin mesti dipandang berat, jangan sampai laung integriti sebagai gimik sahaja," kata Abdul Karim.

