Usul tergempar berhubung penangkapan dua pemimpin pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibahaskan di Dewan Rakyat jam 4.30 petang ini.

Usul itu yang dikemukakan oleh Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pagi tadi menggesa sidang dewan ditangguhkan bagi "merundingkan isu penangkapan beberapa pemimpin mahasiswa di bawah ISA yang secara jelas menafikan hak dan kebebasan asasi rakyat seperti mana yang diperuntukkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan."

Speaker Tun Mohamed Zahir Ismail kemudian bersetuju agar mesyuarat dewan ditangguhkan bagi membincangkan perkara tersebut

Beliau kemudian memaklumkan anggota dewan diberikan masa satu jam untuk membahaskan usul itu.

Pada 5 Julai lalu, seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan mengikut ISA, sementara sehari selepasnya Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan pula ditangkap.

Pemimpin pelajar UM itu dibebaskan Isnin, sementara Khairul Anuar masih lagi dalam jagaan polis.

Mohamed Zahir, dalam ucapan ketika meluluskan perbahasan itu, berkata: "Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2), mesyuarat ditangguh bagi membincangkan usul tersebut dengan mengambil kira ia melibatkan kepentingan orang ramai dan perkara itu perlu disegerakan."

[Laporan penuh selepas ini]