Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan satu perenggan PKR tegaskan komitmen kepada HARAPAN

Biro Politik PKR hari ini mengeluarkan kenyataan satu perenggan yang mengesahkan komitmen parti itu terhadap Pakatan Harapan.

“Biro Politik PKR telah mengadakan mesyuarat mingguan dan telah membuat ketetapan bahawa PKR komited kepada usaha memperkukuh Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-14,” kata kenyataan itu.

Ia dikeluarkan menerusi presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan dibacakan di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya mengenai butirannya, Fahmi menjawab kebanyakan soalan dengan mengulangi kenyataan itu. Ini termasuk soalan mengenai sama ada komitmen tersebut termasuk tidak lagi mengadakan perbincangan lanjut dengan PAS.

Beliau juga cuba berdolak-dalik apabila disoal sama ada PAS dibincangkan pada mesyuarat itu. Fahmi sekadar berkata, banyak isu dibincangkan.

Pemimpin PKR lain termasuk Wan Azizah enggan menjawab soalan daripada wartawan ketika mereka beredar. Mesyuarat itu berlangsung hampir tiga jam bermula pada jam 3 petang.

Mengenai soalan lain berhubung ketiadaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada mesyuarat hari ini, Fahmi berkata terdapat juga pemimpin lain yang tidak hadir, tetapi parti itu masih berkomunikasi dengan mereka.

Ketika ditanya mengenai cadangan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli supaya Kongres Khas diadakan untuk memuktamadkan sama ada parti itu harus meneruskan perbincangan dengan PAS, Fahmi berkata tidak ada sebarang keputusan dibuat.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14 dan akan membuat persiapan untuk pertandingan tiga penjuru.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS