Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPAD arah pemandu tumbuk penumpang hadir siasatan

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mengarahkan pengendali syarikat bas Ekspres Senibudaya (M) Sdn Bhd dan pemandunya yang didakwa terbabit menyerang seorang penumpang supaya tampil esok bagi membolehkan siasatan segera dibuat berhubung insiden itu.

SPAD dalam kenyataannya berkata suruhanjaya itu akan merakamkan kenyataan pengendali bas ekspres dan pemandu berkenaan berhubung kejadian yang berlaku pada 27 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan, penumpang itu membuat aduan polis selepas pemandu bas ekspres terbabit menumbuknya di muka berikutan tidak berpuas hati kerana lelaki berumur 56 tahun itu menghubungi syarikat bas berkenaan dan mengadu suspek tidur ketika bertugas.

Penumpang terbabit mendakwa sejurus selepas singgah mengambil beberapa penumpang di terminal bas Seremban untuk ke Johor Bahru, pemandu itu didapati tertidur ketika berlaku kesesakan jalan raya, dan hanya terbangun apabila lelaki itu mengejutnya bagi meneruskan perjalanan.

Selepas menyedari lelaki terbabit mengadu ke syarikat basnya, pemandu itu menghentikan bas dan bertindak kasar termasuk menumbuk muka sebelum dihalang penumpang lain.

SPAD berkata penumpang berkenaan telah membuat aduan rasmi kepada suruhanjaya itu di pejabat SPAD Johor Bahru pada hari ini.

Menurut kenyataan itu, bergantung kepada siasatan, pemandu terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang jika bersalah manakala pengendali syarikat bas pula boleh didenda RM500,000, hukuman penjara dan penggantungan atau pembatalan lesen.

SPAD berkata walaupun pengendali syarikat telah mengambil tindakan serta merta menggantung perkhidmatan pemandu itu, namun kejadian itu amat dikesali .

“SPAD ingin mengingatkan para pengendali dan pemandu bas agar mengutamakan kebajikan dan keselamatan penumpang pada setiap masa,” kata kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS