Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penguatkuasa imigresen, 3 lelaki Nepal cedera dalam pergaduhan
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 6:05 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Seorang penguatkuasa Jabatan Imigresen dan tiga lelaki warga Nepal, cedera selepas terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah rumah sewa di Jalan Rumbia, Bukit Jambul di George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, penguat kuasa Imigresen berusia 23 tahun dan tiga lelaki Nepal berumur 20 hingga 35 tahun itu ditemui berlumuran darah dalam bangunan kedai yang dijadikan rumah sewa warga asing terbabit.

"Polis menerima laporan dari lelaki yang bekerja sebagai penguat kuasa Imigresen itu memaklumkan semasa di rumah kedai berkenaan dia terserempak dengan seorang warga asing yang mencurigakan dan kemudian telah buat semakan ke atas lelaki tersebut sebelum mengikut balik ke rumah di kawasan tersebut kerana (lelaki Nepal terbabit) mendakwa I-Kad ditinggalkan di rumah.

"Hasil semakan itu mendapati warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan apabila penguat kuasa Imigresen berkenaan ingin keluar dari kawasan rumah tersebut, tiba-tiba lelaki terbabit menumbuk beliau di bahagian pipi sebelum dua lagi rakannya datang serta memukul mangsa," katanya.

Beliau berkata penguat kuasa Imigresen itu terus melarikan diri sambil menjerit meminta tolong sebelum empat lelaki yang kebetulan berada di situ terdengar dan bertindak mengejar warga Nepal berkenaan sehingga ke kawasan rumah mereka.

Anuar berkata apabila penguat kuasa Imigresen itu pergi semula ke rumah warga Nepal berkenaan dia menemui tiga lelaki warga asing itu terbaring di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dipukul empat orang awam tersebut.

"Tiga lelaki Nepal itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala penguat kuasa Imigresen berkenaan turut mendapatkan rawatan di hospital sama selepas lebam di bahagian muka dan pipi," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati penguat kuasa Imigresen itu bertugas di Unit Kawalan Darat Bangunan Sultan Iskandar, Johor dan sedang bercuti di Pulau Pinang kerana merupakan orang Bayan Lepas.

Beliau berkata pihaknya telah pergi ke lokasi kejadian pergaduhan itu dan mendapati tiada kamera litar tertutup di kawasan itu sambil meminta orang ramai yang melihat insiden itu agar tampil bagi membantu siasatan.

"Polis akan menahan tiga lelaki Nepal yang bekerja di kilang di Bayan Lepas dan penguat kuasa Imigresen itu untuk siasatan lanjut," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS