Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan Azwan Bro ke atas Rafizi
Diterbitkan:  Aug 30, 2017 1:37 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun ke atas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer membuat penghakiman demikian selepas panel tiga anggota itu mendapati tidak ada merit dalam rayuan Khairul Azwan terhadap dakwaan Rafizi mengenai kemungkinan wujud penyalahgunaan dalam pembelian hartanah MARA di Australia.

"Rayuan itu ditolak dengan kos," katanya, sambil membenarkan kos ditetapkan pada RM10,000 untuk dibayar kepada Rafizi.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Datuk Hasnah Mohamed Hashim dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Oktober tahun lalu juga menolak saman fitnah Khairul Azwan dan memerintahkan pemimpin Pemuda Umno itu, yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro membayar kos RM73,000. Ini termasuk RM23,000 yang dibelanjakan oleh Rafizi untuk mendapatkan dokumen dari Australia bagi membuktikan dakwaannya.

Rafizi diwakili oleh peguam William Leong manakala peguam M Reza Hassan mewakili Khairul Azwan.

Pada 31 Julai 2015, Khairul Azwan memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung isu pembelian hartanah itu.

Dalam kenyataan tuntutan, Khairul Azwan berkata Rafizi telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang media.

Khairul Azwan, selaku plaintif, berkata beliau mengadakan sidang media untuk menafikan kenyataan Rafizi pada hari yang sama.

Beliau, yang juga pengarah syarikat Biosis Group Bhd, berkata kenyataan itu antara lain mempersoalkan kononnya beliau terbabit dalam urus niaga pembelian 746 Swanston Street di Australia oleh syarikat milik penuh Mara Inc Thrushcross Land Holdings Ltd, yang mengalami ketirisan sebanyak RM63 juta.

Khairul Azwan berkata kenyataan berunsur fitnah itu diterbitkan dalam portal-portal atas talian yang mungkin dikongsi oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Beliau mendakwa kata-kata Rafizi itu telah mencemarkan reputasinya sebagai ahli perniagaan dan ahli politik dan dibenci oleh orang ramai kononnya beliau terbabit dalam urus niaga yang meragukan demi kepentingan kewangan sendiri.

Justeru, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan perintah injunksi.

Lihat Komen
ADS