Kira-kira 400 pemilik Flat Pekeliling di ibu negara belum berpindah ke penempatan baru di Taman Seri Rampai, Setapak kerana mereka belum menerima surat tawaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Wakil penduduk, S Manikavasagam berkata, DBKL belum mengeluarkan surat tawaran kerana rundingan mengenai beberapa perkara dengan pemilik berkenaan, termasuk jumlah pampasan, belum mendapat kata putus.

Katanya, antara masalah utama pemilik enggan berpindah ialah bayaran pampasan RM42,000 yang ditawarkan oleh DBKL tidak diterima oleh pemilik berkenaan.

"DBKL mahu membayar RM42,000 iaitu berdasarkan harga sebuah rumah kos rendah tetap penduduk mahu jumlah yang lebih tinggi kerana kedudukannya di tengah pusat bandaraya," katanya.

Berikutan itu, katanya, pemilik mengambil keputusan untuk tidak berpindah selagi masalah tersebut tidak diselesaikan dan jika ia berterusan, penduduk akan mengambil tindakan mahkamah terhadap DBKL.

Manikavasagam berkata, berikutan itu juga, tarikh akhir pemindahan penduduk Flat Pekeliling yang dijadualkan pada akhir September ini belum diputuskan lagi.

Katanya, penduduk juga sedang berunding dengan DBKL untuk menyelesaikan beberapa masalah lain seperti peluang untuk membeli rumah baru yang akan dibina dan sesetengah pemilik mahu berpindah ke Bandar Baru Sentul dan bukannya ke Taman Seri Rampai.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ini DBKL belum memberi kata putus terhadap permohonan mereka dan ini menyebabkan proses pemindahan terbantut.

Flat Pekeliling dirobohkan kerana kerajaan mahu memajukan semua kawasan tersebut dengan projek perumahan dan komersil, katanya lagi.

Bantuan pengangkutan

Sementara itu, semua orang kurang upaya (OKU) sudah berpindah sama ada ke Setapak atau Bandar Baru Sentul sejak awal bulan ini.

Wakil OKU, Sahmar Saat berkata, mereka mendapat rumah di tingkat bawah flat masing-masing dengan bayaran sebanyak RM94 sebulan.

Katanya, 33 keluarga memilih berpindah ke Setapak manakala hanya enam keluarga menyewa di Bandar Baru Sentul.

"DBKL menyediakan lori untuk mengangkut peralatan ke penempatan baru itu secara percuma," katanya lagi.

Menurut Sahmar, pihaknya kini sedang menunggu tawaran untuk menyewa unit kedai yang disediakan di flat untuk membolehkan OKU menjalankan perniagaan seperti membaiki radio dan televisyen serta membaiki telefon bimbit.