Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang ditegur lagi kerana idam kerusi PKR
Diterbitkan:  Aug 31, 2017 4:59 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Lim Kit Siang ditegur kali kedua kerana menyatakan secara terbuka keinginan DAP mengambil kerusi PKR.

Selepas menyebut dua kerusi di Kedah, kali ini Lim menyentuh mengenai perancangan pembangkang di Johor.

Pengerusi PKR Johor Hassan Karim berkata Lim berhak menyatakan pendapat sendiri tentang perkara itu, namun menambah, ia perlu mengikut saluran yang betul untuk dibincangkan.

“Kami ingin mengulang sekali lagi bahawa ada disediakan mekanisme pengagihan kerusi sesama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) dan diharap semua pemimpin parti komponen mematuhinya, bukan menyatakan secara terbuka di blog atau media,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Lim berkata DAP ingin bertanding di salah satu daripada tiga kerusi parlimen – Johor Bahru, Pasir Gudang, atau Tebrau – yang ditandingi PKR pada pilihan raya umum (PRU) 2013.

Dua minggu lalu, pemimpin veteran DAP itu mencadangkan mereka diberi dua kerusi yang ditandingi PKR - dan kalah - di Kedah dalam PRU ke-13 untuk memastikan kemenangan HARAPAN.

Kerusi itu ialah Gurun dan Kulim.

Walaupun PKR Kedah bersikap terbuka dengan adangan berkenaan, naib presiden parti itu Tian Chua berkata Lim seharusnya membincangkannya secara dalaman.

PKR Johor bagaimanapun kelihatan seperti tidak bersedia untuk melepaskan mana-mana tiga kerusi yang dinyatakan ketua anggota parlimen DAP itu.

Hassan berkata PKR bekerja keras di peringkat akar umbi sejak 2013 di kerusi-kerusi itu, dan sudah mengenal pasti calon berpotensi yang telah dilantik sebagai penyelaras.

“Mereka yang dilantik itu dan pasukan masing-masing bekerja keras sejak beberapa tahun lalu dan kami sangat yakin mereka adalah individu terbaik yang mampu menarik pengundi dan mencipta sejarah memenangi kerusi Johor Bahru, Pasir Gudang dan Tebrau," katanya.

Sementara itu ketika dihubungi, Lim berkata beliau tidak ingin mengupas lebih lanjut untuk mengelak perdebatan tentang isu itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS