Seorang lagi pemimpin kanan Gerakan menggesa supaya Presiden Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik memberi laluan kepada Timbalannya Datuk Seri Kerk Choo Ting yang akan mencabarnya dalam pemilihan jawatan tersebut Sabtu ini.

Gesaan itu dibuat oleh pengerusi pergerakan Wanita Gerakan Wilayah Persekutuan, Surin Leong Soo Yong.

Katanya, Dr Lim yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, sudah lama berkhidmat sebagai presiden, wajar bersara dan memberi laluan Kerk.

Leong berkata, tahun ini lebih sesuai untuk peralihan kepimpinan parti bagi memberi lebih banyak masa kepada pemimpin baru membuat persiapan pilihanraya umum yang dijangkakan pada 2008.

"Wanita Gerakan menghargai khidmat 25 tahun Dr Lim sebagai presiden parti. Kita harap Datuk Seri Dr Lim tidak kecil hati... Sudah sampai masanya beliau berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Kerk dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk memimpin parti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Dr Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden selepas penamaan calon Sabtu lalu.

'Jangan bimbangkan parti'

Semalam, Naib Presiden yang juga pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong membuat gesaan yang sama supaya Dr Lim memberi laluan kepada Koh dan Kerk, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Leong berkata: "Datuk Seri Kerk Choo Ting dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bersama-sama naib pengerusi lain dan pemimpin pusat akan menjadi pasukan yang baik untuk melonjakkan parti itu.

"Oleh itu, kami minta beliau (Dr Lim) jangan bimbang kerana parti itu berada di tangan mereka yang layak," katanya.

Leong, 57, akan berhadapan dengan Timbalan Setiausaha Agung Wanita, Tan Lian Hoe untuk jawatan nombor satu pergerakan itu setelah penyandang, Datuk Rhina Bhar, tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Menurut Bernama, pemilihan pergerakan Wanita dan Pemuda parti itu akan berlangsung Jumaat ini, sehari sebelum pemilihan kebangsaan Gerakan.

Leong turut menafikan spekulasi beliau akan menarik diri daripada bertanding jawatan itu.

"Sudah tentu saya tidak akan menarik diri daripada bertanding," katanya.