Kerajaan mengarahkan sekolah-sekolah menghantar laporan terperinci mengenai pembabitan murid dalam kumpulan 'Black Metal' yang dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam dan moral masyarakat.

"Kita (kementerian) akan lihat sejauh mana penglibatan murid-murid ini. Jika benar mereka terlibat, tindakan tegas akan diambil kerana kita tidak boleh membiarkan murid-murid kita terlibat dengan kumpulan begini," tegas Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Datuk Mahadzir Mohd Khir di Dewan Rakyat pagi tadi.

Menjawab soalan Mastika Junaidah Husin (BN-Arau), Mahadzir juga berharap ibu bapa dapat mengawasi dan memantau kegiatan anak-anak mereka.

"Isu berkaitan anak-anak muda adalah tanggungjawab kita bersama dan disiplin bermula dari rumah. Oleh itu diharapkan ibu bapa dan waris dapat mengawasi kegiatan anak mereka," tambahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang itu, beliau berkata kementerian tidak akan bertindak tergesa-gesa terhadap pelajar yang didakwa terbabit.

"Kita (kementeriaan) tidak boleh terus ambil tindakan menyingkir atau sebarang tindakan terburu-buru terhadap murid-murid yang dikatakan terbabit ini," katanya.

Mahadzir berkata pembabitan pelajar dengan kumpulan ini perlu ditangani melalui pendekatan kaunseling kerana ia berkaitan psikologi remaja.

"Jika murid itu hanya berpakaian seperti kumpulan itu, mungkin kita kena bincang dengan ibu bapa mereka. Sebagai pendidik, kita (kementerian) tidak boleh terburu-buru bertindak atau buat keputusan," jelasnya.

Mahadzir berkata, beliau percaya kegiatan kumpulan itu berlaku di luar sekolah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Mat Basir Rahmat (PAS-Parit) dalam sidang tadi, Mahadzir memberitahu bilangan kes salah laku di kalangan murid sekolah rendah dan menengah menurun sejak lima tahun kebelakangan ini.

Dalam soalannya, Mat Basir meminta kementerian itu menyatakan bilangan kes-kes salah laku murid bagi tempoh 1995 hingga 2000.

Menurut Mahadzir, 4.48 peratus kes pada 1995, kemudian menurun kepada 2.28 peratus (1997), 2.04 peratus (1999) dan 1.84 peratus (tahun lalu).

"Kementerian yakin penurunan kes salah laku itu adalah hasil usaha kementerian ini dengan sokongan masyarakat dalam menangani masalah tersebut," katanya.

Kementerian juga telah mengemukakan permohonan elaun khas untuk ketua guru displin di sekolah-sekolah kepada Jabatan Pekhidmatan Awam dan ia dijangka akan mendapat jawapan positif, tambahnya.