Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba mengelak daripada menjawab soalan mengenai kemungkinan melakukan rombakan kabinet tetapi berkata beliau mengikuti pemilihan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam pemilihan MCA Sabtu lalu, antara yang tewas bagi jawatan Naib Presiden ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Fu Ah Kiow.

Kekalahan Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh dalam pemilihan Umno tahun lalu, juga dikaitkan dengan masa depan mereka dalam pentabbiran kerajaan.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad, digantung keahlian selama enam tahun oleh Umno kerana kesalahan rasuah politik.Turut menjadi perhatian ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz, yang dikaitkan dengan kontroversi permit import (AP).

"Anda kan tahu tidak ada siapa akan bercakap mengenai rombakan kabinet. Jika ia berlaku, maka ia berlakulah. Jika tidak, tidaklah," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada warga Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Beliau adalah juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Bernama melaporkan, ketika ditanya sama ada beliau sedang menunggu sehingga pemilihan-pemilihan itu selesai sebelum merombak kabinetnya, Abdullah berkata : "Itu belum tahu lagi."

"I dok tengok apa nak berlaku, apa jadi pada (Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim) Keng Yaik, misalnya. Diapun kata dia nak berhenti dah, ataupun dia nak bekerja lagi ke," katanya.

Pemilihan Gerakan

Terdapat ura-ura mengenai perubahan dalam jemaah menteri ekoran perkembangan melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri, sesetengah daripadanya dikaitkan dengan keputusan pemilihan parti.

Ketika Abdullah menyebut nama Keng Yaik hari ini, ia mungkin merujuk kepada kenyataan Presiden Gerakan itu untuk berundur pada 2007. Dalam pemilihan parti itu Sabtu ini, Keng Yaik akan dicabar oleh timbalannya Datuk Kerk Choo Ting.

Kepada satu soalan, Perdana Menteri berkata orang akan terus bercakap mengenai kemungkinan rombakan kabinet kerana "membuat spekulasi adalah satu perkara yang menyeronokkan."

Ketika ditanya sama ada rombakan itu akan dilakukan pada minggu pertama September ini, beliau berkata bahawa pada masa itu beliau akan berada di luar negara.

Mengenai kedudukan dua timbalan menteri dari MCA yang kalah Sabtu lalu, Abdullah berkata para pemimpin MCA bebas membuat kenyataan mengenai perkara itu tetapi yang akan membuat keputusan adalah beliau.

"Kepimpinan yang telah dipilih pun jelas menunjukkan sokongan yang besar, jelas mereka (perwakilan) menghendaki orang-orang tertentu menjadi pemimpin mereka.

"Saya menganggap ini bolehlah dilihat sebagai satu kejayaan bagi MCA dan saya harap ia menjadi parti yang kuat, menjadi parti komponen BN yang kuat dan akan menyumbang kepada kejayaan BN," katanya.

Dalam pemilihan itu, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Chan Kong Choy masing-masing mengekalkan jawatan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Mengenai perebutan bagi jawatan nombor satu dalam Gerakan pula, Abdullah berkata: "Itu hal parti. Hal parti berlainan dengan hal kerajaan."