Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata beliau sudah lama meletakkan jawatan sebagai presiden jika Datuk Seri Kerk Choo Ting diterima sebagai pengganti oleh akar umbi.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, para pemimpin parti di peringkat akar umbi enggan menerima Kerk sebagai penggantinya.

Sebaliknya, mereka mahukan Naib Presiden (ketika itu), Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai pengganti dan mahu proses peralihan kuasa berjalan lancar tanpa sebarang pertandingan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pemimpin Gerakan Pulau Pinang hari ini.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan Kerk mengenai mengapa beliau perlu menunggu sehingga 2007 untuk melepaskan jawatan, Dr Lim berkata: "Saya telah menawarkan kepada Dr Koh untuk mengambil ambil alih jawatan tahun ini (2005), namun beliau (Dr Koh) meminta suatu tempoh bagi membolehkannya membereskan kerja-kerja pentadbiran dan kerajaan".

Oleh sebab itu, katanya, Dr Koh mahu memegang jawatan timbalan presiden terlebih dahulu sebelum mengambilalih jawatan Presiden.

Kerk mengumumkan pendiriannya untuk mencabar Dr Lim bagi jawatan presiden setelah Dr Koh mengesahkan pencalonan untuk jawatan nombor dua parti itu dan diumumkan menang tanpa bertanding.

Semalam, Kerk dipetik sebagai berkata, keputusannya untuk bertanding jawatan presiden bukan berpunca daripada perasaan marah terhadap Dr Lim tetapi lebih kepada memenuhi permintaan anggota di peringkat akar umbi.

' Salah diri sendiri'

Dr Lim berkata, Kerk harus menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak menyerlah semasa diamanahkan sebagai Timbalan Presiden selama 15 tahun sejak 1990.

Katanya, Kerk pernah diberi peluang menyelaras pembukaan cawangan-cawangan baru dan penambahan anggota parti itu pada 1995 dan beliau sendiri hampir menyerahkan kesemua tugas utama parti kepada timbalannya itu.

Bagaimanapun, katanya, Kerk tidak menggunakan peluang itu untuk membuktikan kebolehannya sehinga beliau (Dr Lim) menasihati Kerk supaya turun padang dan berjumpa dengan anggota di peringkat akar umbi untuk mendapatkan sokongan.

Menurut laporan Bernama, Dr Lim berkata, beliau meminta perwakilan memberi peluang kepada Kerk untuk terus menjadi timbalannya dalam dua pemilihan parti pada 1999 dan 2002.

"Saya kemudiannya menemui ahli peringkat akar umbi untuk mengetahui siapa yang mereka mahu menjadi pengganti saya dan kesemua yang ditemui menyatakan bahawa mereka mahukan Dr Koh," katanya.

Dr Lim juga berkata, apa yang membimbangkan beliau ialah kepimpinan sedia ada tidak boleh bekerjasama dengan Kerk walaupun Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mendakwa beliau boleh bekerja dengan sesiapapun yang dilantik dalam perhimpunan agung ini.

Penyerahan kuasa

"Kerk kata dia boleh bekerja dengan sesiapa yang dilantik tetapi apa yang merisaukan saya ialah pasukan yang sedia ada telah menyatakan mereka tidak boleh bekerja dengan Kerk," katanya.

Dr Lim juga berkata, beliau amat lega kerana akhirnya akan menyerahkan tampuk kepimpinan parti itu kepada Dr Koh dan berharap dapat menyempurnakan penyerahan kuasa itu dengan lancar pada 2007 seperti yang dijanjikannya.

"Sekarang saya amat lega. Ini penggal terakhir saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan penyerahan tugas berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau mengakui Gerakan begitu lambat menukar pemimpin sedangkan parti-parti komponen lain seperti Umno dan MCA telah menukar pemimpin masing-masing.

Dr Lim berkata, sudah tiba masanya Gerakan menukar pemimpin baru dengan cara yang baik.

Mengenai dakwaan bahawa beliau seorang diktator, Dr Lim menegaskan bahawa itu hanyalah dakwaan yang dibuat oleh mereka yang marah dan kecewa dengannya.

Konsep pengagihan kuasa

"Semasa saya memilih seseorang sebagai calon anggota parlimen dan mencadangkan supaya dia diberi jawatan setiausaha parlimen hinggalah kepada timbalan menteri, orang itu tidak mendakwa saya sebagai diktator tetapi setelah orang itu tidak menjalankan tugas dengan baik dan tidak dilantik lagi sebagai timbalan menteri, dia kata sekarang saya diktator. Jadi anda nilailah sendiri," katanya.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada naib presiden, Dr Tan Kee Kwong yang mendakwa Dr Lim sebagai pemimpin diktator.

Dr Lim juga berkata, Ketua Wanita Wilayah Persekutuan Surin Leong disifatkannya sebagai pemimpin yang "retorik tanpa makna" kerana memberi pandangan yang tidak bernas dengan meminta parti Gerakan mengamalkan konsep pengagihan kuasa.

Sementara itu, Dr Koh mengulangi kekesalannya terhadap tindakan Kerk yang mahu mencabar Presiden sedangkan beliau telah diberi pilihan untuk menjadi penasihat kebangsaan parti.

Beliau berkata Kerk enggan menerima jawatan itu atas alasan ia tiada dalam perlembagaan sedangkan jawatan itu yang pernah disandang bekas presiden Tun Dr Lim Chong Eu selama 10 tahun, diberi kepada pemimpin tertentu yang dianggap penting bagi parti.

Mengulas kenyataan Kerk bahawa beliau tidak sanggup berhadapan dengan Dr Koh kerana mempunyai hubungan rapat dan mengenali semua kaum keluarganya, Koh berkata: "Saya rasa tidak timbul isu peribadi dan hubungan kekeluargaan dalam politik dan pertandingan jawatan boleh dielakkan jika Kerk menerima cadangan menjadi penasihat kebangsaan."