Singapura kutuk ujian nuklear terbaru Korea Utara
GLOBAL| Singapura mengutuk sekeras-kerasnya ujian nuklear yang dijalankan oleh Korea Utara hari ini, kata Kementerian Luar Negeri (MFA) republik ini.
"Tindakan provokatif itu mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini dan meningkatkan lagi ketegangan di Semenanjung Korea," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
MFA menegaskan tindakan persengketaan terbaru oleh negara itu, termasuk melakukan ujian peluru berpandu baru-baru ini dan dua ujian nuklear pada tahun lepas, ‘jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu selain tidak mengendahkan kebimbangan mendalam komuniti dunia."
Singapura dengan tegasnya meminta Korea Utara untuk menghentikan tindakan tersebut, dan mengulangi gesaannya supaya negara itu mematuhi kewajipan dan komitmen antarabangsanya.
MFA menyatakan bahawa Singapura bercadang untuk mengemukakan pandangannya berhubung perkara itu kepada kerajaan Korea Utara melalui duta besar negara itu di Singapura.
Korea Utara dilaporkan menjalankan ujian nuklearnya yang paling besar setakat ini, dengan mendakwa ia telah membangunkan bom hidrogen canggih yang boleh dipasang di atas peluru berpandu balistik antara benua.
Pegawai-pegawai Jepun dilaporkan berkata bahawa bom yang digunakan dalam ujian nuklear keenam negara itu telah menyebabkan gegaran di seluruh rantau ini dan merupakan 10 kali ganda lebih kuat berbanding ujian nuklear yang dilakukan Pyongyang pada tahun lepas.
Minggu lepas, negara itu melancarkan peluru berpandu yang melepasi Jepun.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.