'Asean perlu wujudkan demokrasi yang berdaya tahan'
Negara-negara anggota ASEAN perlu menyahut gesaan untuk mewujudkan demokrasi yang lebih berdaya tahan, kata bekas setiausaha agung Asean Tan Sri Dr Surin Pitsuwan.
“Walaupun pilihan raya biasa diadakan, terdapat kebimbangan bahawa demokrasi mengalami kecacatan kerana pilihan raya tanpa integriti, ketiadaan perkhidmatan awam, mahkamah dan media yang bebas.
“Rasuah semakin berleluasa termasuk dalam pilihan raya, kemunculan politik indentiti populis dan penularan media sosial yang tidak dikawal selia,” kata Surin dalam ucapan penutup persidangan serantau mengenai demokrasi di Asia Tenggara berjudul 'Pencapaian, Cabaran, Prospek' di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas menteri luar Thailand itu berkata golongan menengah di rantau itu tidak secara sistematik pro demokrasi sambil menambah demokrasi di rantau itu pula semakin mundur.
Oleh itu, beliau berkata, kelas menengah perlu didedahkan kepada dasar-dasar kerajaan untuk memahami makna sebenar demokrasi.
Beliau juga menarik perhatian tentang perlunya bagi rakyat di rantau ini untuk memupuk pemikiran yang lebih inovatif, mendapat pendidikan tinggi dan kebebasan yang lebih luas termasuk wanita dan golongan minoriti untuk memasuki fasa seterusnya pembangunan di rantau itu.
“Untuk melakukan ini, demokrasi dan hak asasi manusia perlu diperkukuhkan, tidak dinafikan atau “under-rated,” kata beliau.
Persidangan serantau selama dua hari itu, yang berakhir hari ini, ialah anjuran bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Yayasan Kofi Annan untuk berkongsi pengalaman, membandingkan cabaran dan bertukar amalan terbaik untuk mengukuhkan integriti pilihan raya di rantau itu.
-Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.