Khazanah umum perubahan pengurusan utama MAS dan tiga GLC
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan beberapa perubahan dalam pengurusan kanan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Malaysian Airline System Bhd (MAS).
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan beberapa perubahan dalam pengurusan kanan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Malaysian Airline System Bhd (MAS).
Dalam satu kenyataan, Khazanah berkata Pengarah Urusan MAS, Datuk Ahmad Fuaad Dahalan telah dilantik pengarah penama Khazanah ke Lembaga Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB)
sebagai pengarah bukan eksekutif, bukan bebas.
Khazanah cabang pelaburan kerajaan berkata terdahulu Ahmad Fuaad telah memilih untuk bersara awal sebagai Pengarah Urusan MAS.
Khazanah melahirkan penghargaannya kepada Ahmad Fuaad atas sumbangannya kepada MAS sepanjang tempoh 31 tahun perkhidmatannya dalam menjadikan MAS antara syarikat penerbangan utama dunia pada hari ini.
Dalam struktur pengurusan sementara yang diumumkan oleh MAS, hari ini, jawatankuasa eksekutifnya terdiri daripada pengerusi Datuk Dr Mohamed Munir Abdul Majid, pengarah eksekutif dan pengarah penama Khazanah Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz serta pengurusan kanan MAS yang lain.
Khazanah memiliki 69.3 peratus MAS dan 72.7 peratus MAHB.
Pengurusan baru
Khazanah berkata, antara tanggungjawab utama jawatankuasa eksekutif lembaga pengarah adalah mempercepatkan pelantikan ketua pegawai eksekutif baru/pengarah urusan.
Menurut Bernama, dalam perkembangan yang sama, Khazanah berkata Tengku Azmil Zahruddin akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah urusan/ketua pegawai eksekutif Penerbangan Malaysia Bhd (PMB).
Sementara itu, Khazanah berkata Nasution Mohamed akan dicalonkan bagi jawatan pengarah urusan/ketua pegawai eksekutif PMB, berkuatkuasa 23 Ogos 2005.
Pada masa yang sama, Nasution akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah eksekutif UDA Holdings Bhd. Khazanah memiliki 50.01 peratus daripada UDA dan 100 peratus PMB.
Khazanah juga mencalonkan Dr Iskandar Ismail, pengarah projek-projek khas Khazanah sebagai pengarah penama Khazanah kepada Lembaga UDA, sebagai pengarah bukan eksekutif, bukan bebas.
Ucapan terima kasih
Sementara itu, Ahmad Fuaad yang menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai pengarah urusan MAS minggu lalu, berterima kasih kepada syarikat itu kerana memberinya peluang membangunkan kerjaya profesional dan peribadinya selama tempoh lebih 30 tahun.
"Saya bersyukur menjadi sebahagian daripada pasukan MAS yang membawa syarikat penerbangan itu mencapai standard bertaraf dunia seperti yang dibuktikan menerusi kejayaannya menerima anugerah Five-Star Airline daripada Skytrax baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.
"Selepas 32 tahun berkhidmat dengan MAS, bermula daripada hanya seorang Pelatih Pengurusan hingga kepada pengarah urusan, saya memutuskan untuk bersara daripada perkhidmatan syarikat," katanya.
Ahmad Fuaad, 55, dilantik sebagai pengarah urusan MAS pada 1 April 2004. Beliau memulakan kerjayanya dengan MAS pada Julai 1973.
"Saya gembira bekerja dengan MAS dan menghargai segala sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang tempoh perkhidmatan dengan syarikat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah, pengurusan, kakitangan dan anggota kesatuan sekerja yang memainkan peranan penting dalam kejayaan sepanjang kerjaya saya dengan MAS," katanya.
"Saya ingin melahirkan penghargaan kepada semua pelanggan MAS di atas kesetiaan mereka dan saya percaya anda akan terus memberi sokongan kepada syarikat penerbangan ini," kata Ahmad Fuaad.

