Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin: PKR terikat keputusan HARAPAN
Diterbitkan:  Sep 4, 2017 10:10 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau maklum berkaitan warkah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa parti itu tetap berunding dengan PAS.

Bagaimanapun, katanya, parti-parti Pakatan Harapan, termasuk PKR terikat dengan beberapa kenyataan berkaitan perundingan kerusi pilihan raya.

"Sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) boleh membuat gesaan untuk membuka rundingan dengan PAS, hakikatnya HARAPAN telah membuat keputusan dan keadilan (PKR) sendiri terikat dengan keputusan Pakatan Harapan.

"Hampir dua tahun gesaan DSAI (Anwar) dan rundingan dengan PAS dibuat oleh beberapa pimpinan PKR namun tidak sampai kepada rundingan pembahagian kerusi.

"Pimpinan PAS sendiri mengumumkan akan bertanding lebih 100 kerusi parlimen termasuk (kerusi PKR) di Gombak, Permatang Pauh dan Lembah Pantai," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

Beliau berkata PAS telah meletakkan syarat-syarat, malah sebelum parti itu mahu terlibat dalam rundingan dengan PKR.

"Manakala pimpinan (PKR) yang berunding dengan PAS pula memaklumkan bahawa PAS letak syarat jangan usik kerusi PAS, pimpinan PKR jangan turun berkempen di Kelantan dan lain-lain lagi sebagai syarat untuk PAS sedia bincang dengan PKR," kata beliau.

Dengan latar yang sedemikian, Saifuddin berkata HARAPAN akan meneruskan rundingan kerusi, mengagihkan kerusi PAS di kalangan empat parti komponen gabungan itu.

"Dalam proses ini semua kerusi PAS turut dibuat tuntutan oleh semua parti tanpa kecuali. Masih ada pertindihan tuntutan antara parti dan ada yang telah bersih tidak bertindih.

"Yang bertindih sedang diselesaikan secara bilateral dan trilateral. Langkah ini bertepatan dengan keputusan majlis presiden HARAPAN yang tidak lagi berurusan dengan PAS.

"Adalah sukar untuk PKR membuat rundingan dengan PAS soal pembahagian kerusi kerana proses yang sedang berlangsung hanya melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan," kata Saifuddin yang terlibat rundingan kerusi itu.

Setakat ini, Saifuddin berkata HARAPAN telah selesai pusingan pertama rundingan untuk kerusi parlimen di semenanjung Malaysia dan kesemua parti telah menyatakan kerusi yang dituntut untuk ditandingi.

"Apakala selesai rundingan kerusi bertindih parlimen, keadilan dan parti-parti dalam HARAPAN akan teruskan dengan kerusi-kerusi dewan undangan negeri di setiap negeri. Kerusi-kerusi ditandingi PAS akan turut diagihkan," kata beliau.

Saifuddin berkata pesan yang ingin disampaikan beliau adalah di sebalik gesaan untuk berunding dengan PAS, para pemimpin yang mewakili PKR merundingkan kerusi dalam HARAPAN perlu meneruskan tugasan itu tanpa mengambil kira 'faktor PAS'.

"Masa makin suntuk. Langkah yang lebih realistik adalah bekerja dalam kerangka HARAPAN," kata beliau.

Saifuddin berkata PKR komited dengan rangka kerja HARAPAN dan keputusannya berkenaan rundingan kerusi di antara parti-parti komponen.

Beberapa minggu ini, PKR menyaksikan perpecahan berlaku di kalangan kumpulan yang setuju rundingan lanjut bersama PAS dengan kumpulan yang menentang tindakan itu.

Di sebalik perbalahan itu, majlis presiden HARAPAN yang turut dianggotai presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pakatan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun warkah Anwar Sabtu lalu menggesa supaya pintu rundingan sentiasa dibuka untuk PAS.

Beliau turut menyatakan kepedulian terhadap perundingan dengan PAS boleh memperlahankan persediaan pilihan raya HARAPAN yang katanya bermaksud PKR perlu bersatu dan bertindak pantas.

Lihat Komen
ADS