Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN Kecuali almarhum Datuk Fadzil Noor, dua pemimpin tertinggi PAS selepas era beliau melalui pola yang sama.

Secara umumnya mereka bukanlah tidak bagus atau kekurangan wibawa sebagai pemimpin. Bahkan proses pemotretan - pedulilah sama ada dirancang atau secara spontan - mereka berlangsung dengan jayanya.

Lelaki bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat itu kemudian menjadi seorang tokoh yang tegas dan dikagumi ramai, sama ada Melayu atau bukan, sama ada Muslim atau sebaliknya.

Hal yang sama juga boleh dikatakan begitu pada tokoh bernama Abdul Hadi Awang.

Berbanding Nik Aziz, Abdul Hadi muncul sebagai pemidato yang mempesona kebanyakan orang. Ucapannya dikagumi, kata-katanya dihayati dan intonasinya diikuti kalau pun tidak ditiru para pengagum tegarnya.

Sedangkan Nik Aziz adalah seorang tokoh yang garangnya sesekali, ucapannya tidak sentiasa berapi. Selalunya ucapan atau tazkirahnya boleh saja ditamatkan secara tiba-tiba apabila masa yang diperuntukkan padanya berakhir.

Tidak seperti kebanyakan ahli politik yang berahinya lain macam apabila diletakkan mikrofon di depan mulut mereka.

Nik Aziz dan Abdul Hadi adalah tokoh politik kepartian yang mengalami proses perubahan yang mengejutkan. Daripada seorang tok lebai atau tuan guru yang membawa imej konservatif menjadi moderat yang mesra semua rakyat.

Bersama imej jubah dan semutar mereka diterima ramai dengan selesa. Justeru pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 masyarakat melihat ada gadis cina berseluar sendat bangga membawa bendera PAS.

Hanya selepas PRU ke-13 berlaku perubahan ketara pada kedua-dua mereka. Nik Aziz - yang dikekang masalah kesihatan - dan Abdul Hadi mula menampakkan diri mereka bukan lagi Nik Aziz atau Abdul Hadi yang pernah dikenali ramai sebelum itu.

Peralihan sikap mereka - jika pun tidak 180 darjah - mungkin 160 darjah.

Dalam konteks sekarang, PKR juga nampaknya menunjukkan perubahan. Daripada sebuah parti yang boleh diyakini pengalaman dan sejarahnya - berbanding pembangkang lain - ia sudah menjadi seperti parti dakwah.

Lihat saja kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin, mengenai kesungguhan kumpulannya menyokong supaya rundingan dengan PAS diteruskan.

Katanya bagi PKR, PAS bukanlah musuh mereka walau apa yang sudah mereka lakukan terhadap partinya.

"PKR ini, orang kata (macam) orang yang banyak bersabar," katanya.

Di dasar kekalutan

Afif juga menukilkan bagaimana Nabi Muhammad tetap lunak dengan kebencian seorang Yahudi yang melontarkan najis kepada baginda saban hari.

Bagi Afif kesabaran adalah cara dakwah terbaik untuk mengubah nasib Malaysia ini.

Dengan penjelasan begitu dapat kita bayangkan bagaimana kesabaran PKR ketika berurusan dengan parti rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dan di dasar semua kekalutan ini ialah seseorang bernama Anwar Ibrahim. Dia mungkin sudah mencuba sedaya upaya berlaku adil dan cuba mengawal keadaan, namun dalam keadaan tertentu masalah itu ialah Anwar sendiri.

Seorang pemimpin yang hebat ialah seseorang yang mampu membaca keadaan semasa untuk merangka masa depan tanpa mengabaikan pengajaran silam.

Namun di belakangnya tetap wajib ada penasihat-penasihat yang lincah, jujur dan berprinsip. Setiap nasihat yang diberikan kepada pemimpin biasanya tidak terdedah kepada umum, namun tindakan yang diambil daripada maklumat yang diberi itu tetaplah sentiasa dinilai dan dihakimi.

Itu yang dipercayai berlaku pada ketiga-tiga tokoh yang disebutkan tadi - Nik Aziz, Abdul Hadi dan Anwar. Di sebalik perbezaan parti, pandangan dan sikap politik, mereka dipertemukan oleh satu persamaan - keterbatasan.

Bekas menteri besar Kelantan itu dilihat mula bersikap lain terhadap pembangkang mahu pun Umno selepas semakin uzur dan kelilingi oleh anggota keluarga terdekat.

Abdul Hadi juga memang diketahui tidak lagi sesihat 10 atau 20 tahun lalu dan kini memang jelas berada di tangan kumpulan yang mana.

Anwar mungkin tidak berdepan masalah kesihatan sangat, cuma kedudukannya yang terkurung di Sungai Buloh sana menyebabkan maklumat yang sampai tidak secara terus, bertapis - dan lebih malang - mungkin berpilih.

Dalam ketiga-tiga senario tadi keadaan tentulah akan terkawal atau stabil jika maklumat yang disampaikan kepada mereka adalah adil dan menyeluruh.

Kemudian barulah nama mereka akan terpelihara dengan selamat digunakan sebagai hujah dalam politik, sama ada sesama rakan atau lawan.

Semasa Bob Woodward mula menghidu ada cerita besar di sebalik pencerobohan bangunan Watergate pada Jun 1972, dia diberitahu tentang peguam khas Presiden Richard Nixon, Charles Colson.

Kata Harry Rosenfeld, ada satu kartun pada dinding pejabat Colson bertulis: "When you have got them by the balls, their hearts and minds will follow".

Keberanian itu penting dalam hidup berpolitik. Isunya ialah bagaimana ia dimanfaatkan dan untuk siapa.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS