Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang

Seramai 200 individu asnaf fakir dan miskin Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima sumbangan daging korban menerusi program ‘Korban Perdana 2017 dan Journey To Jannah’ bersama pembayar zakat Selangor anjuran LZS di Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Hussin Mohd Ali berkata daging korban itu merupakan sumbangan Persatuan Kakitangan Islam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Klang dan Triplc Berhad selain LZS sendiri.

“Sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan dalam program ini dan setiap asnaf tersebut menerima 2 kilogram daging korban.

“Menerusi program ini kita turut bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak daging korban tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut di Kompleks Anak-Anak Asnaf LZS Bait Al-Hasanah di Klang, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah LHDN Negeri Selangor Romli A. Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Triplc Berhad Datuk Yusof Badawi.

Hussin berkata selain menunaikan tuntutan ibadah dan meraikan golongan kurang berkemampuan, program itu juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara LZS dan pembayar zakat melalui aktiviti kemasyarakatan terutamanya membabitkan penerima zakat di negeri ini.

Katanya menerusi program itu LZS dan pembayar zakat turut menziarahi rumah asnaf fakir dan miskin di sekitar Klang bagi melihat sendiri realiti kehidupan golongan terbabit.

Sementara itu dalam program sama, LZS turut menerima zakat perniagaaan daripada syarikat Simply Packaging Sdn. Bhd. bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM62,000 manakala Sime Darby Property Berhad pula telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ yang membabitkan jumlah agihan semula zakat sebanyak RM335,696.

Program ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan inisiatif yang diperkenalkan LZS bagi membolehkan syarikat berkaitan memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar di sekitar Selangor.

-Bernama

Lihat Komen