mk-logo
Berita
Tugas utama IGP baru siasat MO1
Diterbitkan:  Sep 4, 2017 5:19 PM
Dikemaskini: 7:48 PM

Bakal ketua polis negara yang baru, Mohamad Fuzi Harun perlu menyiasat Malaysian Official 1 (MO1) untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada polis, kata Steven Sim.

Menurut Anggota Parlimen Bukit Mertajam itu, Mohamad Fuzi perlu segera menyiasat MO1 yang disebutkan Jabatan Keadilan AS (DOJ) pada Julai 2016 dalam saman sivil melibatkan dana 1MDB.

“Ketua polis negara baru mesti bertindak tanpa gentar atau pilih kasih untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap polis,” katanya.

Steven Sim berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena hari terakhir Tan Sri Khalid Abu Bakar menjawat jawatan ketua polis negara yang dijadualkan hari ini.

Mohamad Fuzi merupakan bekas pengarah cawangan khas akan menggantikan tempat Khalid yang berkhidmat sejak 2013.

Sehubungan itu, Steven Sim menyelar Khalid Abu Bakar yang bukan saja enggan menyiasat MO1 tapi juga mengenepikan kes DOJ sebagai “kes sivil.”

“Selain pihak berkuasa AS, 1MDB kini disiasat di sekurang-kurangnya enam negara seluruh dunia atas dakwaan jenayah pengubahan wang haram.

“Walaupun siasatan besar-besaran di AS dan negara lain, di Malaysia, Khalid Abu Bakar bukan saja enggan menyiasat M01 dan isteri tapi juga mengenepikan kes DOJ sebagai hanya tindakan sivil.

“Ketua polis negara yang baru perlu mengubah ini dan mengadakan siasatan penuh ke atas MO1 dengan kadar segera,” katanya.

Pada Jun 2017, saman sivil DOJ antara lain mendedahkan penggunaan dana 1MDB dalam pembelian berlian bernilai RM120 juta yang didakwa untuk isteri MO1.

Dalam kenyataan sama, Steven Sim turut menyatakan empat tugas lain Mohamad Fuzi sebagai ketua polis negara yang baru iaitu menyelesaikan kes penculikan pastor Raymond Koh serta individu lain yang hilang, mengambil tindakan tegas terhadap sindiket perjudian seluruh negara, menghentikan kes kematian dalam tahanan polis, dan melaksanakan reformasi insititusi polis seiring saranan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin pada 2005.

Steven Sim mengalu-alukan pelantikan Mohamad Fuzi dan memberi jaminan pembangkang akan memberi kerjasama terhadap usaha beliau mengembalikan profesionalism dan maruah Polis Diraja Malaysia.

Lihat Komen
ADS