Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rizal: Maksud Hisham Rais, Anwar perlu diam
Diterbitkan:  Sep 4, 2017 8:00 PM
Dikemaskini: Sep 5, 2017 3:42 AM

Kenyataan aktivis politik, Hishamuddin Rais bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat maklumat yang betul untuk membuat keputusan dari dalam penjara mengundang pelbagai maksud, kata pembantu khas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

"Semasa Anwar di luar penjara, Hishamuddin kata Anwar suka cakap belit-belit pada orang sehingga menyebabkan PKR huru-hara. Semasa Anwar dalam penjara, Anwar tak dapat maklumat yang tepat untuk buat keputusan yang betul.

"Maksudnya di dalam atau di luar penjara, lebih baik Anwar diam dan buat hal sendiri.

"Ini pandangan daripada salah seorang kawan baik Anwar yang merupakan otai gerakan reformasi," tulis Rizal di Facebook hari ini.

Terdahulu hari ini, Hishamuddin yang merupakan salah seorang penggerak gerakan reformasi menggesa ketua umum PKR itu memberi tumpuan kepada kegiatan menulis dan berfikir ketika berada di penjara.

Aktivis itu mengatakan bahawa perbezaan pendapat dalam PKR mengenai kerjasama dengan PAS berpunca daripada pendekatan Anwar dalam mengendali dan mengurus kepimpinan.

Pada 2 September lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan menggesa anggota parti dan penyokongnya membenarkan pemimpin parti itu memutuskan cara terbaik menangani kerjasama dalam Pakatan Harapan.

Berikutan itu, para pemimpin PKR yang membantah dan menyokong kerjasama dengan PAS mendakwa bahawa Anwar menyokong mereka.

PAS secara rasmi mengakhiri kerjasama selama 18 tahun dengan PKR, terutamanya apabila parti itu menyokong AMANAH semasa pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lepas.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR masih terbuka untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS