Mahkamah Sesyen Klang hari ini memerintahkan bekas pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abdul Kudus Ahmad membela diri terhadap 24 pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM59,000.

Hakim Nor Afizah Hanum Mokhtar mengeluarkan perintah itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Kudus bagi kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Beliau menetapkan lima hari mulai 16 Jan tahun depan untuk kes pembelaan.

Abdul Kudus, 43, menghadapi 24 pertuduhan pindaan meminta dan memperolehi rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik Restoran Sri Stevens Corner di Pandan Indah antara Mei 2001 dan Mei 2004 di sekitar ibu negara serta Selangor.

Menurut laporan Bernama, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama.

Denda maksimum

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda daripada nilai suapan.

Abdul Kudus diwakili peguam M.Manoharan manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordin Hassan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Manoharan berkata Abdul Kudus memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Katanya pembelaan akan memanggil 25 saksi termasuk Abdul Kudus, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M.Kayveas dan beberapa pegawai MPAJ.

Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 11 saksi pada perbicaraan itu.