Pelukis kartun politik Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, menggesa Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang baru dilantik, membubarkan unit media sosial Bukit Aman.
"IGP baru perlu membawa pasukan polis ke landasan betul.
"Beliau perlu membubarkan unit media sosial di Bukit Aman dan menjadikan memerangi jenayah dan rasuah sebagai keutamaannya.
“Beliau perlu membuka semula siasatan 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.
Zunar mendakwa ketua polis negara, sebelum ini, Tan Sri Khalid Abu Bakar menghabiskan terlalu banyak masa di Twitter, sehingga dilabel sebagai "ketua twitter negara".
Pelukis kartun itu yang terheret dalam beberapa masalah dengan polis semasa pentadbiran Khalid, tidak pernah gagal untuk membidasnya menerusi hasil karyanya dengan melukis karikatur ketua polis negara itu sedang menulis tweet.
Khalid, 60, bersara semalam selepas berkhidmat dengan pasukan polis selama 41 tahun. Penggantinya itu adalah bekas ketua Cawangan Khas.
