Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai "PM yang tidak boleh dipercayai" apabila meminta golongan wanita memberikan dua pertiga majoriti kepada BN bagi mengakhiri isu penukaran agama anak secara sepihak.

Ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan hari ini berkata rakyat sudah menunggu lapan tahun agar isu itu diselesaikan tetapi tidak berjaya.

"Pada bulan April 2009, menteri undang-undang ketika itu (Datuk Seri) Nazri Aziz menyatakan di Parlimen bahawa anak-anak pasangan yang berpisah mestilah berada dalam agama ibu bapa pada masa perkahwinan dan arahan kabinet dikeluarkan berhubung perkara itu," kata Teo.

Katanya, rakyat menunggu hampir lapan tahun untuk melihat Seksyen 88A yang dicadangkan dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA), apabila rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 21 November 2016.

"Bagaimanapun, selepas menangguhkan pembacaan kali kedua RUU itu sebanyak dua kali pada sesi ketiga sidang parlimen 2016 dan sesi pertama sidang pada 2017, RUU itu akhirnya diluluskan pada sidang terakhir, tetapi tanpa Seksyen 88A.

"Sekiranya cadangan Seksyen 88A benar-benar menjadi masalah, maka kenapa kerajaan tidak menyedarinya sebelum ini? Adakah kabinet dan AG (peguam negara) tidur ketika tugas dan mengecewakan rakyat?"

Semalam, Najib ketika berucap pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Kuala Lumpur sempena Hari Wanita Kebangsaan berkata kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga di parlimen jika mereka mahu melihat usul Seksyen 88A diperkenalkan dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA).

[Baca berita penuh]