Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Laporan penuh siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam isu penajaan bola sepak Kelantan menggunakan wang Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah dihantar kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob berkata laporan tersebut disiapkan pada bulan lepas dan kini terpulang kepada menteri yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap Tan Sri Annuar Musa.

"Kita dah selesai buat siasatan, penemuan-penemuan ini laporan sudah lengkap dan laporan sudah dihantar ke kementerian yang menjaga.

"Maknanya kuasa sepenuhnya YB Menteri yang menjaga MARA, Datuk Ismail Sabri Yaakob, untuk tindakan lanjut kita serah sepenuhnya kepada kementerian," kata Yusof.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan tugas kepada Pengerusi baharu, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Pejabat MARA, Kuala Lumpur, hari ini.

Yusof sebelum ini dilantik sebagai pemangku jawatan Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) selepas Annuar digantung tugas Januari lalu.

Jelasnya lagi, selain siasatan dijalankan oleh MARA sendiri, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut menyiasat namun MARA tidak masuk campur kerana bukan bidang kuasa mereka.

"SPRM ada buat siasatan sendiri tapi kami tidak boleh masuk campur kerana mereka ada bidang kuasa mereka sendiri," katanya lagi.

Kemelut dalaman MARA tercetus selepas Annuar dikaitkan berhubung isu tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan.

Isu berkenaan tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Bulan lalu, Annur menyatakan hasrat tidak berminat lagi untuk menjadi Pengerusi MARA dan mahu menumpukan tugas kepada kerja parti.

Manakala, Awang mahu perkara yang lepas berlalu dan memberi fokus pada masa depan.

"Yang lepas, lepaslah, kini kita tengok untuk masa depan," kata Awang ringkas.

Awang sebagai bekas timbalan menteri kewangan dilantik sebagai pengerusi MARA berkuat kuasa 1 September, namun hanya memulakan tugas rasminya hari ini ekoran cuti umum yang panjang.

Lihat Komen
ADS