Terjemahan Kehangatan pemilihan MCA sudah berlalu, tetapi barisan kepimpinannya diingatkan supaya memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan isu-isu berlarutan yang membabitkan kepentingan masyarakat Cina Malaysia.

Presiden Dewan Perhinpunan Cina Selangor (SCAH), Bong Hon Liong berkata MCA sepatutnya memberi perhatian kepada desakan masyarakat Cina supaya melepaskan pegangan ekuitinya dalam Nanyang Press Holdings, yang menerbitkan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press.

"Sebagai sebuah parti politik, MCA sepatutnya menghormati desakan mereka supaya menjual Nanyang Press Holdings secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan mengenai pendirian SCAH dalam perkara tersebut.

Cabang pelaburan MCA Huaren Management telah membeli syarikat media tersebut pada bulan Mei 2001 yang menjadi panas sehingga mengakibatkan perpecahan dalam parti tersebut. Langkah tersebut telah dikritik hebat kerana ia dianggap akan menjejaskan kebebasan editorial akhbar-akhbar berkenaan.

Menurut Bon, satu lagi 'hasrat bersama' masyarakat Cina ialah untuk melihat sekolah-sekolah Cina dibina dan isu tersebut menjadi tajuk paling hangat dibincangkan dalam perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu.

Buka semula sekolah Damansara

Dalam hubungan tersebut, SCAH mengulangi gesaannya supaya SRJK(C) Damansara dibuka semula. Sekolah tersebut ditutup selama 1,696 hari sejak tahun 2001, selepas kerajaan mendakwa lokasi sekolah berkenaan tidak sesuai.

Walaupun sebuah bangunan sekolah baru dibina dekat Tropicana, tetapi ianya dipulau oleh sekumpulan ibu bapa dan pelajar yang masih terus menghantar anak-anak mereka ke premis bangunan sementara berhampiran bangunan lama.

"SRJK(C) Damansara adalah sebuah sekolah Cina yang lengkap dengan kemudahannya. Tidak ada sebab untuk menutupnya. Kami menggesa MCA mendesak kerajaan membuka semula sekolah berkenaan," kata Bon.

Penduduk, badan pendidikan Cina dan badan bukan kerajaan membantah keras langkah memindah lokasi sekolah tersebut.

Pada masa ini, terdapat 51 orang pelajar yang meneruskan pengajian di situ dengan menggunakan bangunan sementara tersebut, dengan 11 tenaga pengajar dan seorang guru besar.