Pengusaha restoran India Muslim belum membuat keputusan sama ada akan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus yang ditetapkan oleh Jabatan Kastam dan Eksesais di Raja Malaysia (KDRM) kepada pelanggan mulai 1 September ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Jemarul Khan Abdul Kader berkata, ini kerana pihaknya sedang mendapatkan maklum balas dari ahlinya di seluruh negara sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima dari pengusaha restoran setakat ini adalah pelbagai tetapi ramai yang bersikap 'tunggu dan lihat'.

"Sebahagian pengusaha mahu mengenakan cukai tersebut kepada pelanggan tetapi tindakan ini akan menyebabkan harga makanan menjadi lebih mahal. Sementara pengusaha lain mahu membayar sendiri kerana tidak mahu membebankan pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Jabatan Kastam dan Eksesais Di Raja Malaysia (KDRM) Cawangan Pulau Pinang yang akan mengutip cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus dari restoran India Muslim di negeri itu mulai 1 Srptember ini.

Menurutnya, kira-kira 7,000 pengusaha restoran India Muslim menjadi ahli Presma tidak termasuk 5,000 lagi yang tidak berbuat demikian

Jemarul Khan berkata, mengikut peraturan pengusaha restoran perlu membayar cukai perkhidmatan tersebut kepada Jabatan Kastam sejak tahun 1975 lagi.

Katanya, bagaimanapun, pengusaha tidak berbuat demikian tetapi melalui notis yang dihantar oleh agensi tersebut baru-baru ini, mereka yang tidak membayar akan dikenakan penalti.

Harga berpatutan

Bagaimanapun, katanya meskipun dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus, harga makanan di restoran India Muslim adalah berpatutan.

"Persatuan tidak menerima aduan dan rungutan daripada pelanggan yang mendakwa harga makanan dan minuman di restoran kami mahal berbanding perkhidmatan yang diberikan kepada mereka," katanya.

Jemarul Khan berkata, pelanggan perlu faham bahawa harga makanan bergantung kepada beberapa faktor seperti bekalan bahan mentah, kos tenaga kerja dan kemudahan yang disediakan.

Katanya, pengusaha menaikkan harga makanan kerana kenaikan harga minyak minyak baru-baru ini menyebabkan bahan mentah yang dibeli dari pembekal menjadi semakin mahal.

Sementara itu, Ketua Unit Perlesenan KDRM Pulau Pinang, Lee Siew Ngoh berkata, hanya restoran yang mencatat jualan tahunan melebihi RM500,000 dibenarkan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus daripada pelanggan.

Katanya, restoran yang jualannya kurang daripada RM500,000 setahun tidak dibenarkan mengenakan cukai perkhidmatan kepada pelanggan.

"Mereka perlu memohon lesen sebelum mengenakan cukai perkhidmatan kepada pelanggan. Wang cukai perkhidmatan tersebut akan dibayar kepada KDRM," katanya.

Beliau berkata, pegawai jabatannya akan mengadakan pemeriksaan ke atas restoran India Muslim di negeri itu untuk memastikan hanya restoran yang mendapat kelulusan KDRM dibenarkan mengenakan cukai perkhidmatan kepada pelanggan.