PKR: Pramatang bagi IGP kata penembak tiada kaitan kes 1MDB
Tindakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang menolak kaitan kejadian tembakan ke atas pemandu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dengan kes 1MDB adalah satu kenyataan yang pramatang, kata pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ini kerana siasatan masih belum selesai dan belum ada sebarang penangkapan berhubungan serangan ke atas pemandu Abdul Gani yang berlaku pada 29 Ogos lalu.
“Siasatan masih berjalan baru lebih seminggu selepas kejadian, tanpa sebarang tangkapan suspek atau pengumuman penemuan bukti-bukti berkaitan kes.
“Amat sukar untuk umum menerima bahawa pihak polis sudah boleh menyimpulkan kejadian ini langsung tiada kaitan dengan kes 1MDB,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya petang ini.
Fahmi juga merujuk kepada kenyataan FBI yang mendakwa bahawa sesetengah individu yang mungkin menjadi saksi, terlalu takut untuk bercakap atau membantu siasatan berkaitan skandal 1MDB kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mereka.
"Mengambil kira kenyataan FBI, sukar untuk menerima penafian IGP itu. Ini memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak betul.
"Polis Malaysia perlu lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan," katanya.
Pemandu Abdul Gani dilaporkan ditembak di kaki ketika di rumahnya ketika bersiap-sedia mahu pergi bekerja.
Seorang lelaki dikatakan menghampiri mangsa dengan alasan mahu bertanya tentang jalan sebelum menembaknya di khaki dan kemudiannya melarikan diri dengan motosikal.

