Pencapaian sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik yang juga merupakan rujukan untuk memandu kerajaan merangka pelbagai rancangan pembangunan negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang perancangan silap atau perumusan keputusan yang salah, tidak tepat serta tindakan tidak bijak dan akhirnya gagal memenuhi sasaran matlamat.

Sehubungan itu, baginda bertitah tiga faktor perlu dihormati iaitu statistik hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif agar ia berfungsi sebagai instrumen yang dapat membantu memastikan perancangan tepat seterusnya mengelakkan masalah kepada pelaksana.

"Kedua, statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti, manakala ketiga, statistik ditafsir secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan tanpa sebarang prejudis," titah baginda ketika merasmikan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai hari ini.

ILSM mula beroperasi pada 2012 dengan kos pembinaan sebanyak RM54 juta dan bakal menjadi hab ilmuan statistik bertaraf antarabangsa yang unggul, berprestij serta berperanan sebagai pemacu dalam melahirkan modal insan yang kompeten, inovatif dan berkemahiran tinggi.

​​​​​​​Sebanyak 615 program ditawarkan di institusi milik Jabatan Perangkaan yang melibatkan empat pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Ekonomi; Pusat Pengajian Metodologi Penyelidikan dan Kualiti; Pusat Pengajian sosial dan Demografi; serta Pusat Teknologi Maklumat Komunikasi dan Geospatial.

Selain itu, baginda bertitah negara kini berhadapan ‘Revolusi Perindustrian Keempat’ yang menuntut segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat relevan, tepat lagi terkini dan data raya, dikenal pasti sebagai sumber berpotensi untuk membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta.

"Keadaan ini, bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data secara moden dan lengkap, malah menuntut penyebarannya secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat," titah Sultan Nazrin.

Mengenai penubuhan ILSM, Sultan Nazrin bertitah ia amat bertepatan dalam hasrat memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik.

Titah baginda penubuhan institut itu merupakan satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang begitu pesat.

"Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memilih Sungkai sebagai tapak Institut ini. Sungkai kini mempunyai sebuah institut latihan profesional.

"Semoga institut ini akan terus berkembang hingga diiktiraf sebagai institut latihan bertaraf antarabangsa dan dianggotai oleh tenaga pengurusan, tenaga latihan dan tenaga sokongan yang berdedikasi lagi komited untuk memekarkan ia dengan kejayaan," titah baginda.

- Bernama