Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar tidak berbohong kepada kabinet, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan laporan yang dibuat bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kabinet pada awal 1990-an, berhubung kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) daripada perdagangan forex ketika itu.

Beliau mengulas pertikaman lidah antara Anwar dan pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tercetus ketika Ketua Umum PKR itu memberi keterangan.

Sidek berkata Anwar selaku menteri kewangan ketika itu tahu jumlah kerugian sebenar, tetapi menyembunyikannya daripada kabinet.

Beliau berkata kabinet hanya dimaklumkan kerugian sebanyak RM5.7 bilion.

Namun Dr Mahathir berkata, Anwar membuat laporan berdasarkan apa yang ditunjukkan audit Bank Negara kepadanya.

"Dia beritahu apa yang dilaporkan. Takkanlah dia nak persoal dan (buat) sangkaan ada orang curi duit.

"Dia buat kenyataan mengikut apa yang disahkan audit, itu sahaja," katanya.

Beliau hadir sebagai pemerhati pada sesi hari ini dan beredar sejam setengah selepas Anwar mula memberikan keterangannya.

Ketika sesi tersebut, Anwar bertegas yang beliau ada memaklumkan kepada kabinet berhubung kerugian yang ditanggung BNM.

Katanya, beliau memaklumkan kabinet berhubung 'exposed position' berjumlah RM9.3 bilion.

Anwar juga berkata telah mengarahkan Perbendaharaan untuk meneliti perkara itu selepas surat ketua audit negara Tan Sri Ishak Tadin memaklumkan kerugian yang ditanggung, dan Ishak setuju untuk memindahkan kerugian ke rizab luar.

Lihat Komen
ADS