Paling Popular
Terkini

ULASAN | Beberapa tahun sudah, ketika Parti Islam Semalaysia mula bermanja secara terbuka dengan Umno, suatu sesi bergambar melibatkan sayap pemuda parti itu diadakan.

Seingat saya, ia berlaku beberapa ketika sebelum muktamar yang menampilkan pertunjukan silat, memotong kek dengan keris dan pimpinan parti berbusana Melayu tradisional itu berlangsung di Kota Bharu.

Sesi bergambar tersebut, saya kira dilakukan bertujuan menampilkan sisi Melayu Pemuda PAS pada muktamar berkenaan, selepas muktamar sebelumnya memperlihatkan segerombolan besar pimpinan tunjang parti berkenaan disingkirkan.

Beberapa keping gambar daripada sesi tersebut dikongsikan ke media sosial. Salah satunya memperlihatkan anak kepada Tuan Guru Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi sedang berkeris dengan timbalannya di Pemuda PAS kini, Khairil Nizam Khirudin.

Khalil memperlihatkan langkah menangkap tikaman keris Khairil, sambil kerisnya sendiri ditusukkan ke rusuk rakannya itu.

Khairil bagaimanapun, menampan serangan itu dengan hanya telapak tangan. Mungkin Khairil ada ilmu kebal, dan tikaman itu tidak lut pada tapak tangannya. Kita tidak tahu. Namun jika itu bukan lakonan, Khairil pastinya cedera terkena tikaman rakannya itu.

Politik juga bukan sekadar lakonan, meski lakonan adalah sebahagian daripada politik. Seperti juga aksi bertikam Khalil, PAS dan Umno juga boleh berlakon.

PAS boleh sahaja bersahaja seolah-olah ia tidak punya hubungan dengan Umno. PAS juga boleh berlakon seolah-olah ia tidak tahu bahawa Umno sedang mempermainkan hati dan perasaannya. Tetapi seluruh negara tahu, malah anggota PAS - di peringkat akar rumput - juga tahu bahawa hubungan PAS dan Umno tidak banyak beza dengan pertarungan ‘sengit’ Khalil dan Khairil tadi.

Dalam PRU ke-13, arwah Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya apabila PAS gagal memenangi sebanyak kerusi yang sepatutnya mereka menangi.

Aneh sekular tapi Kristian

Sebahagian besar khabarnya digagalkan oleh jentera PAS sendiri yang dalam diam-diam menanam ranjau, menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan mengatur langkah menggagalkan usaha calon mereka sendiri yang cenderung memihak Anwar.

Gerombolan yang sama juga kini gigih menyuarakan bantahan terhadap usaha Pengarah Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Azmin Ali untuk berunding dan memastikan tidak terjadi pertembungan tiga penjuru.

Tembikai-tembikai ini (yang luarnya hijau, dalamnya merah Umno) masih jelas menjalinkan hubungan sulit dengan Umno meski beriya menafikannya.

Tidak sedikit sumber tiris di Putrajaya yang memberitahu betapa akrabnya hubungan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sejak ‘muktamar keris’ itu, PAS dengan terang dan nyata menolak serta membuang sahabat-sahabat lama mereka demi persahabatan baru yang menurut mereka lebih menguntungkan agama, kononnya.

Demi persahabatan baru itu, juak-juak PAS terpaksa mengeyakan fatwa dan ijtihad tanzim menggunakan hujah-hujah lama Umno bagi menyerang HARAPAN dengan membingkainya sebagai "dikemudi demi kepentingan DAP".

Parti itu pula didakwa PAS kononnya menjalin hubungan dengan evangelis demi membangun sebuah negara sekular.

Demikian cubaan kelakar anakanda Haji Hadi membingkai keadaan politik parti kawan-kawan lama sebagai "undi HARAPAN ertinya mengundi DAP".

Apalah mengarut negara sekular tidak bertuhan mahu dibangunkan dengan usahasama mubaligh Kristian?

Kekalkan Najib sebagai PM

Cubaan ini tidak banyak beza dengan cubaan Khairil menikam dan menampan serangan dengan tapak tangan itu tadi.

Dalam tak sedar, diri sendiri bakal cedera dan ditimpa malu kerana tidak pandai menyambut pukulan, tetapi ada hati pula melancarkan serangan.

Khalil pastinya sedar, setiap satu undian kepada PAS adalah tanda setuju dan akur kepada persandingan rahsia dengan Umno.

Setiap satu undi kepada PAS adalah pernyataan reda dan rela kepada persekongkolan terhadap rompakan berbilion ringgit terkait 1MDB.

Setiap satu undi ke parti bulan adalah talian hayat kepada Umno yang sedang gembira melihat parti-parti pembangkang bukan sahaja saling bercakar, malah melihat PAS menyerang parti kawan-kawan dengan peluru yang dibekalkan oleh mereka.

Mengundi PAS, ertinya memilih Najib Razak sebagai perdana menteri, dan mengekalkan Datin Seri Rosmah Mansor di Sri Perdana.

Memilih PAS, ertinya memilih Umno. Inilah pengertian budaya politik matang dan sejahtera PAS. Bersanding diam-diam, menipu terang-terang.


IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS