'Serang menyerang' dalam perang mulut antara penyokong Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Timbalannya, Datuk Kerk Choo Ting berterusan menjelang pemilihan parti itu Sabtu ini'

Kelmarin, Naib Presiden yang juga pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong menggesa Dr Lim memberi laluan kepada Koh dan Kerk, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Gesaan Dr Tan itu turut disokong oleh Pengerusi pergerakan Wanita Gerakan Wilayah Persekutuan, Surin Leong Soo Yong.

Dan hari ini, Gerakan Perak pula menggesa Kerk yang dianggapnya sebagai ahli politik yang gagal supaya membatalkan hasrat bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu Sabtu ini.

Pengerusinya, Datuk Chang Ko Youn berkata, Kerk tidak mempunyai kelayakan untuk bertanding jawatan yang begitu tinggi 'kerana telah terbukti gagal semasa menerajui Perak dan peringkat bahagian di Taiping'.

"Selama sembilan tahun, beliau mengetuai Gerakan Perak selama tiga penggal dari 1996 hingga 2005...dia telah lalui ujian sembilan tahun sebagai pemimpin negeri dan terbukti gagal menjadi seorang ahli politik, sekarang nak cabar presiden," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabat Gerakan Perak di Ipoh hari ini, Chang berkata ahli parti telah berpeluang menilai prestasi dan sumbangannya dan membuat perbandingan dengan pengerusi-pengerusi sebelumnya, termasuk Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang memegang tampuk negeri pada 1974 hingga 1986.

"Stail kepimpinan beliau bukan kuatkan parti tapi menyebabkan kerosakan. Karektor dan caranya yang tak mesra, tiada komunikasi, kerjasama, konsultasi dan koordinasi menyebabkan Gerakan Perak mengalami `break down'," katanya.

Chang berkata, Kerk telah gagal sebagai ketua di peringkat negeri dan tindakan beliau mencabar Dr Lim boleh dianggap seperti meminta para perwakilan melakukan sesuatu yang kejam dan tidak adil iaitu menolak seorang pemimpin seperti Dr Lim yang telah terbukti berjaya.

Guna taktik kotor

Chang yang akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan kali ini, turut kesal dengan tindakan calon dan ejen calon tertentu yang menggunakan taktik kotor apabila berkempen.

"Ada yang menjalankan kempen dengan menelefon perwakilan dan menabur janji pelbagai jawatan parti dan kerajaan jika memilih mereka. Ini taktik kotor, biarlah perwakilan memilih calon berdasarkan merit," katanya.

Menurutnya, ada juga cubaan menakutkan calon-calon yang bertanding jawatan tinggi bahawa kedudukan mereka dalam parti atau kerajaan akan tergugat jika pemimpin tertentu menang pada pemilihan nanti.

Mengulas mengenai kenyataan Kerk yang menyifatkan Dr Lim sebagai diktator ala "Mao Ze Dong", Chang berkata tuduhan itu tidak berasas kerana presiden parti itu dikenali sebagai pemimpin yang mengamalkan semangat berpasukan.

"Bagaimana dia (Kerk) boleh bekerja di bawah Keng Yaik selama 23 tahun dan tiba-tiba menggelar Keng Yaik diktator. Ini bermakna dia `enjoy' kedudukannya di bawah diktator," katanya.

Ketua Wanita Gerakan Perak Tan Lian Hoe pula ketika diminta mengulas perkara sama berkata, kenyataan itu datangnya daripada seorang pemimpin yang pengecut.

Katanya, Kerk yang menjadi Ahli Parlimen Taiping dari 1990 hingga 2004 telah meninggalkan "masalah" kepada Gerakan dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 2004.

Jentera pilihanraya Gerakan dan BN menghadapi kesukaran berkempen apabila pengundi mempamerkan kemarahan kerana kecewa dengan bekas ahli Parlimen sebelum itu, kata Tan, yang pada mulanya dicalonkan bertanding di Taiping sebelum bertukar ke kawasan Parlimen Bukit Gantang.

Tan yang akan bertanding jawatan Ketua Wanita Gerakan berkata sikap Kerk yang tidak mesra dan sensitif kepada pengundi dengan menjaga kroni sahaja menjadi punca masalah itu.

Katanya, Kerk bukan sahaja tidak mesra dengan masyarakat akar umbi malah di kalangan anggota jawatankuasa negeri pun tidak wujud kemesraan dan tidak hairanlah apabila beliau pernah digelar sebagai pemimpin "Touch n Go".