Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes 'bin Abdullah': Mahkamah Persekutuan benarkan permohonan JPN

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang menyatakan anak luar nikah beragama Islam boleh dibinkan dengan bapanya.

Mahkamah juga akan memutuskan sama ada Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, berhubung kebenaran untuk anak luar nikah dibinkan bapanya, terpakai untuk mereka yang beragama Islam.

Keputusan itu dibuat selepas anggota tiga panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan tiga persoalan perundangan untuk dibangkitkan, dengan teras utamanya adalah persoalan di atas.

Mahkamah tertinggi itu membuat keputusan itu walaupun dibantah peguam K Shanmuga yang mewakili pasangan beragama Islam dan anaknya.

Peguam itu berhujah menyatakan Seksyen 13A akta itu seharusnya kekal seadanya memandangkan ia tidak membezakan cakupannya antara orang Islam dan bukan Islam.

Seksyen 13A menyatakan "(1) Bagi anak sah taraf, nama bapa kandung akan dijadikan nama keluarganya, (2) Bagi anak tidak sah taraf, nama ibu (nama ibu yang secara sukarela memberi maklumat tentang dirinya) boleh diletakkan sebagai nama keluarga dengan syarat orang yang mengaku dirinya menjadi bapa kanak-kanak itu mengikut Seksyen 13 meminta berbuat demikian".

Perkara itu timbul selepas JPN dan dua pihak lain memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Julai lalu, bahawa anak luar nikah boleh berbinkan nama bapanya, dan fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung perkara itu tidak memiliki kuasa undang-undang.

Dua lagi hakim yang menjadi anggota panel adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Aziah Ali.

Tiga persoalan undang-undang itu dibuat peguam kanan persekutuan Suzana Atan, Arik Sanusi Johari dan Shamsul Bolhassan.

Majlis Agama Islam Johor yang menjadi pencelah diwakili peguam Sulaiman Abdullah, manakala Shanmuga hadir bersama-sama peguam Nizam Bashir.

Tiga persoalan itu adalah:

1. Sama ada pendaftar kelahiran dan kematian boleh merujuk sumber perundangan Islam ketika membuat pendaftaran kelahiran anak beragama Islam.

2. Sama ada mahkamah sivil boleh menentukan soalan atau perkara berkaitan keabsahan anak beragama Islam, dalam soal pemberian nama dan nasab.

3. Sama ada Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 untuk pendaftaran anak beragama Islam membolehkannya dibinkan dengan individu yang mengaku sebagai bapanya.

Seksyen 13A sudah jelas

Sulaiman berkata, MAIJ selaku pencelah mahu menghantar tujuh soalan tambahan kerana kes itu membabitkan Islam dan bidang kuasa negeri.

Md Raus yang menolak permintaan itu berkata, MAIJ hanya boleh menghantar 3 soalan kerana isu bidang kuasa tidak dibangkitkan ketika pendengaran dan rayuan.

Sementara itu, Shanmuga ketika berhujah membantah keputusan mahkamah berkata, Seksyen 13A jelas terpakai untuk semua anak tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya lagi, keputusan tersebut mungkin akan memberi kesan kepada kanak-kanak lain yang berdepan situasi yang sama.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2003 memutuskan anak yang dikandung di luar nikah ("Anak Tak Sah Taraf") tidak boleh membawa nama ("tidak boleh dinasabkan") orang yang mengaku sebagai bapanya, jika dia dilahirkan kurang daripada enam bulan perkahwinan.

Dalam kes yang dibicarakan ini, kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu lahir lima bulan dan 24 hari selepas perkahwinan ibubapanya.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman bersejarah itu berkata, ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan badan agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” katanya lagi.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang berbeza pandangan dengan Majlis Fatwa menyambut baik keputusan itu.

Menerusi laman Facebooknya 29 Julai lalu, beliau berharap keputusan itu dapat menutup keaiban, melindungi anak yang tidak bersalah dan mengelakkan Islam dilihat sebagai "agama hukuman".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS