Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa didakwa 623 pertuduhan rogol anak mengaku bersalah

Seorang bapa yang menggemparkan seluruh negara bulan lalu kerana dihadapkan dengan lebih 600 dakwaan meliwat dan merogol anak perempuannya dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan.

Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak di Putrajaya, hari ini.

Ejen unit amanah berusia 36 tahun itu mengaku bersalah terhadap 623 tuduhan termasuk meliwat, merogol dan mencabul anaknya yang berusia 15 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali juga mengarahkan bapa itu membayar RM10,000 ganti rugi kepada mangsa.

Hukuman penjara berkuatkuasa tarikh penahanannya, iaitu pada 27 Julai lalu.

Menurut laporan, mahkamah mengambil masa dua hari untuk membaca setiap pertuduhan ke atasnya.

Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu untuk menjalani kounseling, dan diletakkan dalam pemerhatian polis selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Dia yang juga seorang duda didakwa meliwat anak perempuannya di apartmen yang didiami mereka di Selangor sebanyak tiga kali setiap hari antara Januari hingga Julai lalu, kecuali untuk tiga hari.

Namun penderitaan mangsa dikatakan sudah bermula pada usia 13 tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang hadir ke perbicaraan berkata, kementeriannya memantau kes tersebut sejak dari awal, dan mangsa serta ibunya kini diberikan rawatan intervensi untuk menangani trauma yang dihadapi.

Katanya, kanak-kanak perlu diberikan pendidikan seksual agar dapat membantu mereka "mengenalpasti dan mencegah" berlakunya serangan seksual, dan masyarakat juga perlu berperanan untuk membuat laporan jika mendapati ia berlaku.

"Kami menggesa masyarakat, jiran, ibubapa dan guru untuk bersama-sama membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya.

Lihat Komen
ADS