Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Kelantan pilih akur arahan Anwar
Diterbitkan:  Sep 8, 2017 12:44 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

PKR Kelantan memberi gambaran betapa mereka tidak akan memutuskan hubungan dengan parti PAS di negeri itu.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd Sukirman Mustafa menegaskan kepimpinan PKR Kelantan memilih untuk patuh terhadap nasihat ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Diminta mengulas mengenai desakan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya PKR negeri itu menyatakan pendirian dengan jelas soal kerjasama mereka dengan PAS, beliau dilaporkan enggan melayan perkara itu.

"Anwar bukan sahaja ketua umum PKR, tetapi juga ketua umum Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Jadi kami sebagai ahli akan akur kepada ketua kami," katanya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Pada 2 September lalu, Anwar yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh mengirim sepucuk warkah yang turut menyentuh mengenai kerjasama antara PKR dan PAS.

Melalui tulisan itu, bekas timbalan perdana menteri itu mengakui bahawa beliau telah mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan PAS selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan.

Kenyataan sekali gus dilihat mengeruhkan lagi keadaan ketika PKR Kelantan sedang bergolak apabila wujud kumpulan penentang terhadap kepimpinan negeri yang didakwa mesra PAS dan mahu pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir (foto, kiri)  melepaskan jawatan.

Sementara itu, Sukirman mengakui PKR dan AMANAH mempunyai pandangan berbeza dalam isu tersebut, bagaimanapun yakin perkara itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

HARAPAN juga dilihat tidak lagi sekata apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan gabungan pembangkang itu akanmenamatkan semua cubaan PKR berunding dengan PAS menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada masa sama bekas perdana menteri itu juga mengakui warkah Anwar itu menyebabkan masalah kepada gabungan berkenaan.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang sedang meringkuk dalam penjara mempunyai hak untuk menasihatkan Pakatan Harapan kerana adalah ketua umum HARAPAN.

Tidak timbul isu 'dua kepala'

Sementara itu, wartawan Malaysiakini, N Faizal Ghazali melaporkan Ketua Pemuda PKR (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tidak timbul isu dua kepimpinan dalam AMK Kelantan meskipun wujudnya 'dua kepala' di negeri itu setakat ini.

"Tidak ada masalah kerana pelantikan (ketua baru) telah dibuat dan sah.

“Kita menerima hakikat bahawa yang dilantik (PKR negeri) bukan ketua AMK, tetapi penyelaras," katanya ringkas ketika ditemui selepas program Parlimen Kedai Kopi di Kota Bharu, hari ini.

Senbelum ini, Dr Mohd Hafidz Rezal Amran dipecat oleh AMK pusat dan diganti dengan Mohd Khairul Amin Abd Rahman bagi jawatan ketua AMK Kelantan.

Bagaimanapun, Ab Aziz tidak mengiktiraf pelantikan Mohd Khairul Amin dan bertindak melantik Dr Hafidz Rezal sebagai 'penyelaras' AMK Kelantan.

Keadaan itu dilihat mengelirukan dengan kewujudan dua pecahan kepimpinan.

Sementara itu Nik Nazmi yang juga ketua Pemuda Pakatan Harapan berkata, Mohd Khairul Amin tidak bermasalah menjalankan tugasnya dengan sokongan daripada pimpinan AMK peringkat cabang.

Tambah beliau, keputusan pelantikan ketua baru itu juga dibuat melalui sokongan majoriti daripada ketua-ketua AMK peringkat cabang.

Lihat Komen
ADS