Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mahu kerajaan menutup kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan mengusir keluar rakyat negara itu sekiranya Yanggon tidak menghentikan kekerasan terhadap etnik Rohingya.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu berbuat demikian susulan pembunuhan beramai-ramai etnik minoriti itu oleh pentadbiran Aung San Su Kyi.

“Kami minta KDN dan kerajaan (Malaysia) kalau tak ada tindakan dari kerajaan Myanmar (terhadap etnik Rohingya) kita minta tutup kedutaan kalau tidak kita buang masa berdemo (di sini).

“Kami minta tindakan drastik dan minta juga rakyat Myanmar dihalau dari negara ini. Kami rakyat negara ini cintakan keamanan dan tak tergamak lihat pembunuhan kejam” katanya kepada pemberita di luar kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.

Jamal sebelum itu mengetuai bantahan bersama etnik Rohingya dan berarak dari bangunan Tabung Haji menuju ke kedutaan Myanmar bagi menyatakan bantahan serta menghantar memorandum.

Walaupun hujan lebat mencurah, sejak jam 2.00 petang, kumpulan yang dianggarkan seramai 400 orang yang majoritinya etnik Rohingya berarak sejauh 1.7 kilometer sambil dikawal rapi pasukan keselamatan sehingga tiba di kedutaan Myanmar.

Sepanjang perjalanan mereka melaungkan dengan penuh emosi “Hidup Melayu”, “Hidup Rohingya”, “Hidup Islam” dan juga takbir “Allahuakbar”.

Mereka turut membawa plakad bertulis “Kerajaan Myanmar zalim terhadap Rohingya” dan “Kembalikan Rohingya di Myanmar”.

Selain itu mereka turut membawa plakad berlatar belakang gambar Jamal yang bertulis "Stop Killing Rohingya".

Turut kelihatan wanita dan anak kecil dari etnik itu yang sama berarak malah tidak kurang di antara mereka yang menangis teresak-esak.

Setibanya di kedutaan Myanmar pada jam 3.00 petang, Jamal menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan manakala etnik Rohingya pula berselawat kira-kira 300 meter dari situ sambil diawasi anggota keselamatan.

Sepanjang di luar kedutaan, kumpulan itu turut membaca ayat al-Quran serta melaungkan slogan “Hidup Rohingya” dan “Hidup Melayu”.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Md Hanafiah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetuai ASEAN untuk terus mendesak Myanmar menghentikan keganasan itu.

“Harap kepimpinan negara terus memainkan peranan mendesak Myanmar menghentikan penghapusan etnik dan saya harap Najib dapat mengetuai ASEAN dalam membantah kekejaman di Myanmar. Pembunuhan etnik ini langsung tak boleh diterima,” katanya.

Kira-kira jam 4.00 petang, Jamal mengetuai bacaan al-Fatihah dan membacakan doa untuk disedekahkan kepada mangsa pembunuhan Rohingnya dan kumpulan itu kemudian bersurai secara aman.