Seekor dugong jantan ditemui mati terdampar di Pulau Sibu dekat Mersing semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata dugong seberat 100 kilogram berkenaan ditemui beberapa orang budak.

"Dugong itu belum mencapai tahap dewasa. Melalui pemeriksaan, ia didapati tersimpul di jaring ekoran terdapat kesan lebam akibat jaring di bahagian badan dan mulutnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bangkai dugong terbabit kemudian ditanam di Pulau Tinggi, Mersing.

Beliau berkata kematian dugong merupakan kali kedua berlaku tahun ini.

Ayub berkata kejadian tersebut boleh menjejaskan usaha pengwujudan Santuari Dugong Johor.

"Kerajaan Johor telah memperuntukkan RM1 juta bagi pemuliharaan dugong dan pengwujudan Santuari Dugong Johor di perairan antara Pulau Besar, Pulau Rawa dan Pulau Sibu dicadangkan diwartakan bagi melindungi mamalia itu," katanya.

Beliau berkata dianggarkan kurang daripada 100 ekor dugong mendiami kawasan yang dicadangkan terbabit dan mempunyai sumber makanan mencukupi.

- Bernama