Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini tampil dengan kelainan apabila ia diadakan selama tiga hari, dengan pengisian pelbagai acara termasuk Karnival Hari Malaysia bermula 15 September di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2017 berkata buat pertama kalinya sambutan itu diadakan dengan mengadakan Karnival Hari Malaysia dengan pelbagai acara termasuk pameran penggunaan digital kepada masyarakat.

“Selain pameran pelbagai produk, orang ramai yang hadir berpeluang menyaksikan konsert yang dibawakan oleh Astro (malam pertama), RTM (malam kedua) dan TV3 (malam ketiga),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datu Rosmadi Datu Sulai pada Majlis Bersama Media Sempena Hari Malaysia 2017.

Masidi berkata sambutan kemuncak Hari Malaysia 2017 pada 16 Sept yang dijadual turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berkonsepkan ‘keharmonian dan kepelbagaian’ bagi menyemarakkan lagi semangat patriotism.

“Seramai 1,500 orang bakal terlibat dalam pelbagai persembahan istimewa yang dibahagikan kepada beberapa segmen pada sambutan kemuncak berkenaan yang akan bermula pukul 8 malam.

“Sambutan ini dibuat dalam bentuk lebih santai kerana mahu rakyat lebih selesa dan kita mahu rakyat merasai bahawa perayaan ini milik mereka,” katanya.

Masidi berkata dijangkakan seramai 30,000 pengunjung dari seluruh lapisan masyarakat akan hadir memeriahkan lagi acara berkenaan.

“Saya berharap seluruh masyarakat bersama-sama memberi sokongan dan menghayati erti sebenar Hari Malaysia sebagai satu wadah memupuk sifat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” tambahnya.

- Bernama