Ketua parti pembangkang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Speakar Datuk Che Mat Jusoh mengarahkan beliau menghentikan ucapan kerana dikatakan gagal mematuhi peraturan persidangan.

Insiden berlaku ketika Presiden PAS itu baru beberapa minit berucap membahaskan usul tergempar yang dibawa Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) mengenai isu merobohkan premis yang didakwa sebagai masjid oleh PAS, di Kampung Bujal Kemaman pada 26 Mei lalu.

Wakil PAS Rhu Rendang itu tidak memberi laluan apabila Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit), Wan Hisham Wan Salleh (BN-Ladang) dan Datuk Ahmad Said (BN-Kijal) ingin mendapatkan penjelasan mengenai hujah yang dikemukakannya.

Turut bertindak keluar ialah tiga lagi wakil PAS Datuk Harun Taib (Pas-Manir), Datuk Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Buruk), dan Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam).

Antara lain, Abdul Hadi berkata semua tanah di muka bumi ini adalah masjid dan boleh untuk dijadikan tempat sembahyang.

Bagaimanapun ketika Khazan bangun untuk meminta penjelasan, Hadi enggan memberi laluan hingga keadaan menjadi agak tegang dan Speaker dewan meminta Abdul Hadi duduk.

"Saya tidak mahu duduk Yang Berhormat Datuk Yang Dipertua, saya tidak mahu berikan laluan, itu hak saya kerana saya belum habis lagi berucap," kata Abdul Hadi.

Minta beri laluan

Ketika itu Khazan dan Wan Hisham terus mencelah kerana berpendapat fakta yang dikemukakan Abdul Hadi adalah mengelirukan dan tidak tepat dengan isu yang sedang dibincangkan dan mahukan Abdul Hadi memberi laluan untuk penjelasan.

Menurut laporan Bernama, presiden PAS itu bagaimanapun tetap bertegas enggan duduk walaupun beberapa kali diminta oleh Che Mat.

"Saya tidak akan duduk kerana ini adalah hak saya dan Yang Dipertua kena ikut undang-undang Dewan... teruklah kalau macam ini. Tak betul macam ni," kata Abdul Hadi dengan nada agak keras.

Speaker dewan pula mencelah: "Dengan penuh hormatnya saya minta wakil Rhu Rendang duduk (ketika ini Abdul Hadi masih enggan duduk) kerana menjadi tugas saya untuk mententeramkan keadaan".

Bagaimanapun Wan Abdul Muttalib bangun dan mencelah meminta agar Speaker dewan lebih adil dan mematuhi undang-undang.

Che Mat berkata beliau tidak berhasrat untuk berdebat dengan anggota Dewan tetapi tindakannya meminta Abdul Hadi duduk adalah selaras dengan Perkara 46 Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri mengenai perbahasan.

Abdul Hadi yang semakin berang dengan keadaan itu berkata, inilah sidang dewan paling teruk yang pernah disertai dalam tempoh 20 tahun beliau menjadi wakil rakyat.

Kenyataan beliau itu disangkal keras oleh Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) yang berkata bahawa di zaman pemerintahan PAS dahulu, keadaan adalah lebih buruk lagi.

Diminta berhenti berucap

"Saya masih ingatkan, ketika saya tidak beri laluan, pemimpin PAS pada waktu itu tetap bangun dan mengganggu ucapan saya sedangkan saya tidak beri pun laluan sehinggalah akhirnya saya dihalau dari dewan ini.

"Yang Berhormat jangan pandai bercakap saja, Yang Berhormat Datuk Rosol dulu pun kena halau juga," katanya yang mendapat tepukan gemuruh semua wakil BN.

Selepas Abdul Hadi masih enggan duduk walaupun diberikan peluang. Speaker kemudiannya mengarahkan beliau tidak lagi meneruskan ucapannya sebelum kesemua wakil PAS yang lain turut keluar bersama Abdul Hadi.

Khazan kemudiannya diberikan peluang untuk berucap membahaskan usul tersebut sebelum dewan ditangguhkan ke pagi esok.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, seorang wakil PAS mengakui memang wujud "surau PAS" yang dijadikan sebagai tempat menjalankan aktiviti parti itu kerana PAS tidak pernah memisahkan soal agama dengan politik.

Datuk Harun Taib (PAS-Manir) berkata perkara itu berlaku sepertimana yang dilihat oleh wakil kerajaan.

"Mungkin apa yang dilihat itu ialah surau PAS yang turut menjadi tempat aktiviti parti kerana kita tidak pernah memisahkan agama dengan politik," katanya ketika membahaskan usul tergempar mengenai isu merobohkan sebuah premis yang kononnya didakwa sebagai masjid di Kampung Bujal, Kemaman pada 26 Mei lalu.

'Guna bina bicara'

Harun yang juga Ketua Dewan Ulama PAS berkata demikian ketika dicelah oleh Rosol yang mahukan kepastian sama ada pemimpin PAS itu sedar bahawa terdapat masjid atau surau yang dijadikan sebagai markas PAS.

Harun berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan budi bicara sebelum merobohkan "masjid" itu kerana di zaman PAS, kerajaan negeri tidak pernah melarang mana-mana pihak yang ingin membina masjid atau surau.

Bagaimanapun Rosol yang mencelah berkata, PAS telah berjanji untuk tidak meneruskan pembinaan "masjid" itu ketika membuat perbincangan dengan pegawai Pejabat Daerah Kemaman tetapi janji itu telah dimungkiri.

Sementara itu, Asha'ari Idris (BN-Langkap) ketika membahaskan usul yang sama berkata, beliau mahukan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap empat premis di kawasannya yang dijadikan markas PASs dan kini pembinaannya semakin banyak.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelak premis berkenaan turut diisytiharkan sebagai masjid oleh PAS untuk mengelirukan rakyat dan umat Islam.

"Saya lihat premis ini makin dibesarkan dan saya bimbang jika nanti suatu masa, PAS akan isytihar premis itu sebagai masjid pula dan ini sudah tentu menjadi satu cabaran kepada kerajaan.

"Oleh itu, saya sokong tindakan tegas lebih awal diambil ke atas premis ini," katanya.

'Kepentingan politik'

Dalam pada itu, Mohd Ramli Nuh (BN-Tepuh), ketika membahaskan usul itu, berkata PAS sengaja menimbulkan isu itu dan membuat dakwaan kononnya premis yang dibina itu sebagai masjid sebagai tidak berasas dan mempunyai motif politik.

Sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis mengenai pembinaan masjid menurut Islam, beliau berkata PAS terpaksa mencetuskan perkara itu kerana mereka kini sudah kehabisan isu.

"Dulu PAS yang lulus undang-undang mengenai pembinaan masjid, hari ini mereka sendiri yang melanggarnya kerana tujuan dan kepentingan politik, tidak lebih daripada itu.

"Bagi saya, PAS telah melakukan dosa kepada Allah, rakyat dan umat Islam kerana berbohong dan cuba mencetuskan isu ini sehingga umat Islam berada dalam keadaan keluh kesah," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan tindakan Abdul Hadi tiga wakil rakyat PAS meninggalkan sidang dewan sebagai kegagalan presiden PAS itu berdepan dengan kebenaran.

Katanya, Abdul Hadi tidak sepatutnya berkeras untuk tidak memberi laluan kepada wakil BN apabila bertanya mengenai hujah yang dikemukakan.

Katanya, ini kerana sesi perbahasan memerlukan respon bagi memastikan mereka yang mengambil bahagian tidak membangkitkan perkara-perkara yang tidak berasas dan menyimpang daripada fakta sebenar.