Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) melupuskan RM909,250 pinjaman pengajian bagi pelajar tajaannya di timur tengah yang cemerlang.

Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin berkata pelajar itu termasuk dua orang yang meraih keputusan ‘mumtaz’ (cemerlang) dan ‘jayid jiddan’ (sangat baik) yang pinjaman mereka dilupuskan sepenuhnya membabitkan jumlah potongan sebanyak RM142,000.

Beliau berkata seramai 13 pelajar pula yang meraih keputusan ‘jayyid’ (baik) dikurangkan sebanyak 75 peratus membabitkan potongan RM696,937.50.

“Pengurangan pinjaman sebanyak 50 peratus pula diberikan kepada enam pelajar yang meraih keputusan jayyid, ‘maqbul’ (lulus) dan ‘mustahsan’ melibatkan potongan RM47,375.00.

“Pengurangan sebanyak 25 peratus turut diberikan kepada lima pelajar yang meraih keputusan maqbul dengan jumlah potongan keseluruhan berjumlah RM22,937.50,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Intensif Timur Tengah 2017 di Seremban hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Mains.

Kamal Amran berkata Mains hanya akan mengutip semula baki pinjaman para pelajar ini berjumlah kira-kira RM346,500.

Sementara itu Mohamad ketika berucap berkata sebagai penerima tajaan pengajian hasil wang zakat, para pelajar seharusnya bersikap lebih amanah dan telus dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Seramai 20 pelajar mengikuti Program Intensif Timur Tengah (PITT) 2017 yang diadakan selama tiga bulan lebih di Universiti Teknologi Mara, Seremban 3.

Mereka terdiri daripada empat orang pelajar perubatan, dua orang pelajar pergigian manakala 14 orang pelajar pengajian Islam.

- Bernama